KUALA LUMPUR: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hari ini dibenar mendapatkan pasport antarabangsanya untuk sementara waktu atas urusan kerja di United Kingdom (UK) dan Jepun.
Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan itu untuk mendapatkan pasport bermula hari ini hingga 11 November ini selepas pihak pendakwaan tidak membantahnya.
Hakim Azura Alwi memulangkan pasport tersebut dan mengarahkannya diserahkan semula pada tarikh tersebut. Pasport Na’imah disimpan oleh mahkamah sebagai syarat jaminan atas pertuduhan jenayah yang dihadapinya.
Terdahulu, peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Na’imah memohon mendapatkan pasport untuk sementara bagi urusan kerja serta perjumpaan dengan peguam.
“Pihak kami mohon pasport diserahkan hari ini memandangkan perjalanan bermula 7 Oktober dan pasport akan dipulang semula kepada mahkamah pada 11 November ini,” katanya. Sementara itu,
Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berkata pihaknya tidak membantah permohonan itu.
Pada 23 Januari lalu, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pegangan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.
Pada 29 Januari pula, Daim, 86, turut didakwa atas pertuduhan sama melibatkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN