PUTRAJAYA: Isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berjaya menangguhkan sementara pembayaran tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM313.8 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Supang Lian memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan beliau untuk mendapatkan penangguhan, sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, didengar pada tarikh lain.
Hakim Supang yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Dr. Choo Kah Sing berpuas hati permohonan isteri Tun Daim Zainuddin, mempunyai merit.
Terdahulu, panel itu mendengar penghujahan peguam S. Saravana Kumar yang mewakili Na’imah manakala Peguam Kanan Hasil, Mohammad Hafidz Ahmad mewakili LHDN selaku responden.
Pada prosiding itu, Saravana berhujah, Na’imah tidak dapat menjelaskan tunggakan cukai kerana dananya tidak dapat diakses selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akauannya.
Mohammad Hafidz pula berhujah, Na’imah perlu membayar tunggakan tersebut kerana tiada keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan diberikan.
Hujah beliau, berdasarkan afidavit, Na’imah mempunyai harta yang dianggarkan berbilion ringgit di luar Malaysia dan beliau perlu mencari jalan `membawanya masuk’ ke negara ini bagi membolehkan tunggakan cukai dijelaskan.
Na’imah merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonannya untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara pembayaran cukai kepada LHDN.
Pada 18 Oktober lalu, Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman melalui penghakiman bertulisnya berpuas hati, tiada keadaan luar biasa yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.
Beliau berpendapat, LHDN yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu, diberi kuasa untuk mengutip cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Ujar Hakim Shahnaz, berdasarkan peruntukan ACP, prosiding sudah dimulakan, maka pembayaran cukai mesti dibuat tanpa mengira jumlah, sama ada berlebihan atau tidak.
Na’imah memohon untuk mengekalkan status quo dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkannya berhubung dakwaan LHDN, bahawa beliau tidak menjelaskan cukai taksiran bernilai lebih RM313 juta.
Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu dijadualkan didengar pada 12 Februari tahun depan. Permohonan itu difailkan pada 26 Ogos lalu bagi membatalkan cukai pendapatan berjumlah RM313.82 juta dengan menamakan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sebagai responden.
Dalam afidavit sokongannya, Na’imah berkata, LHDN melalui notis bertarikh 18 Januari lalu mempersoalkan kenaikan sahamnya dalam syarikat Ilham Baru Sdn. Bhd.
LHDN turut mendakwa beliau menggunakan tiga aset di luar negara yang dibeli menggunakan pendapatan tidak dilaporkan untuk membayar pinjaman antaranya Ilham Baru, Ilham Tower Sdn. Bhd., dan Welberton Private Equity Corp.
Tiga aset berkenaan ialah Hotel Nantasket Beach Resort dan sebuah pangsapuri bersebelahan hotel berkenaan di Massachusetts; bangunan pejabat Chauncy Place dan Hotel Buckminster and Annex di Boston yang dianggarkan bernilai lebih RM700.6 juta.
Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan cukai Taksiran Tambahan bagi Tahun Taksiran 2018 berjumlah RM313,820,336.13 yang dikenakan terhadapnya adalah ultra vires (bertentangan) dan menyalahi undang-undang.
Menurut Na’imah, ia adalah kerana jumlah yang dituntut itu adalah daripada tiga unit aset di luar negara yang bukan di bawah bidang kuasa responden kerana undang-undang cukai pendapatan di Malaysia berfungsi berasaskan wilayah. – UTUSAN