Isteri, anak juruteknik jatuh Gunung Machinchang terima faedah Perkeso - Utusan Malaysia

Isteri, anak juruteknik jatuh Gunung Machinchang terima faedah Perkeso

NOR Hanani Abdul Hamid (tengah) bersama Pengarah Langkawi SkyWalk Sdn. Bhd., Abd. Samad Ahmad (dua kanan) menyerahkan faedah Perkeso kepada Zunirah Othman (dua kiri) di Kampung Padang Kandang, Padang Matsirat, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Keluarga kepada juruteknik Eagle’s Nest SkyWalk di Gunung Machinchang yang meninggal dunia kerana terjatuh ketika sedang bekerja menerima bantuan dan faedah di bawah Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Manfaat itu merangkumi faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) kepada balu dan anak-anak arwah secara bulanan.

Pengurus Perkeso Langkawi, Nor Hanani Abdul Hamid berkata, pihaknya turut mengadakan lawatan Skuad Prihatin Perkeso ke rumah balu Khairul Nizam Jaafar iaitu Zunirah Othman, 39, bagi menyampaikan faedah itu dan kotak prihatin berisi makanan asas kepadanya.

“Bayaran FOT akan diberikan sepanjang hayat balu arwah dan anak-anaknya sehingga berusia 21 tahun atau sehingga mereka selesai melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pertama,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Zunirah yang bekerja sebagai penolong pembantu tadbir di Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menghargai kepantasan Perkeso dalam meringankan bebanan ditanggungnya.

Mengimbau semula malam sebelum kejadian, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, arwah sempat membawa mereka sekeluarga keluar menikmati makanan laut di Pantai Chenang.

“Pada masa itu suami baru saja menerima gaji, dia kata jom abah nak belanja anak-anak semua makan sedap-sedap.

“Dia juga membeli barang dapur bersendirian selepas pulang bekerja sehari sebelum kejadian sedangkan biasanya kami akan keluar bersama-sama untuk membeli barang dapur,” ujarnya.

Khairul Nizam, 41, meninggalkan tiga anak iaitu Muhammad Alif Iskandar, 17; Nur Irdina Sufiya, 16; dan Adam Farhan, 9.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bertugas sebagai juruteknik di lokasi pelancongan itu ditemukan meninggal dunia pada pukul 5.11 petang, 3 Oktober lalu setelah terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya