Ironman Triathlon: Usahawan 48 tahun di anugerah sijil Malaysia Book of Records

Ironman Triathlon: Usahawan 48 tahun di anugerah sijil Malaysia Book of Records

VINCENT Tiew (kiri) menerima Anugerah World Book of Records sempena menyertai 11 Pertandingan Ironman Triathlon dalam tempoh 24 bulan di KL Wellness City Gallery hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan mengukir sejarah apabila diiktiraf sebagai individu dalam bidang keusahawanan berjaya menamatkan 11 pertandingan Ironman Triathlon dalam tempoh 24 bulan.

Kejayaan luar biasa tersebut melayakkan beliau dianugerah sijil Malaysia Book of Records sekali gus menjadi inspirasi dalam kalangan usahawan.

Pengarah KL Wellness City (KLWC), Datuk Seri Dr. Vincent Tiew berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi bukti sokongan daripada pasukan, keluarga dan komuniti KLWC.

Kata beliau, usia tidak menghalang dari terus menyertai kejohanan Ironman Triathlon 2024 yang turut mencabar mental dan fizikal untuk menamatkan pertandingan itu.

“Ini merupakan kali ke 11 saya menyertai kejohanan ini di enam negara dan pada usia 48 tahun, saya akhirnya menamatkan pertandingan ini pada 12 Oktober lalu di Langkawi.

“Setiap cabaran mengajar saya tentang disiplin, daya tahan, dan ketekunan. Pertandingan ini adalah pencapaian besar, namun ini tidak menghalang saya untuk menyertai Ironman Triathlon untuk kali ke 12 tahun depan di Australia,” katanya pada majlis penyerahan sijil Malaysia Book of Records di KL Wellness City Gallery di sini hari ini.

Pertandingan Ironman Triathlon terkenal dengan tahap kesukarannya, menguji kekuatan fizikal dan mental menerusi gabungan tiga cabaran iaitu berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer, dan larian marathon 42.2 kilometer.

Mengulas lanjut, beliau berharap pencapaian ini dapat memberi motivasi kepada golongan usahawan lain di Malaysia untuk mengejar gaya hidup yang lebih sihat dan mencabar diri mereka dengan matlamat besar.

“Ironman Triathlon bukan hanya tentang kekuatan fizikal, tetapi juga tentang semangat yang tidak mudah menyerah kalah. Saya harap lebih ramai usahawan akan berani mencabar diri mereka dalam apa jua bidang yang mereka ceburi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN