KANGAR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsudin, 28, sudah memulakan persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Asia, pada tahun hadapan.
Selain itu, anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga akan turut memberi fokus dan membuat persediaan untuk mengharungi saingan Sukan SEA bagi acara berkenaan.
Menurut Irfan, sekiranya dapat menghasilkan keputusan yang baik pada Kejohanan Olahraga Asia nanti, dia mempunyai harapan untuk beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia yang dijadual berlangsung di Tokyo, Jepun.
“Tahun depan apa yang paling penting adalah bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Asia dan itu akan menjadi fokus saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 di Kompleks Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Dalam kejohanan itu, Irfan menepati ramalan apabila berjaya meraih pingat emas selepas membuat balingan sejauh 52.05 meter, manakala pingat perak dimenangi Kamal Farhan Abdul Rahman (45.73 meter) dan gangsa oleh Jonah Chang Rigan (44.16 meter).
Pada Sukan Sea Kemboja 2023, Irfan membuktikan dia merupakan raja lempar cakera Asia Tenggara apabila mengekalkan pingat emas yang dimenanginya sejak 2013.
Irfan melakukan lemparan sejauh 57.83 meter jauh meninggalkan pencabar lain untuk memenangi pingat emas keenamnya sepanjang penganjuran temasya itu.
Dalam pada itu, Irfan berkata, penganjuran kejohanan Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 itu merupakan satu medan terbaik buat atlet-atlet muda negara bagi meletakkan sasaran mereka.
“Bila ada kejohanan sebegini, ia sememangnya sangat bagus dan mereka akan nampak perkembangan secara perlahan-lahan. Jadi atlet-atlet muda ini mempunyai sasaran dan tidak hanya berlatih kosong sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Irfan berkata, dia juga akan menyertai setiap penganjuran kejohanan oleh Cahya Mata tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha pembangunan atlet pelapis di negara ini.
Katanya, pada penganjuran terakhir kejohanan itu di Sarawak nanti, dia juga akan bersedia dan melakukan balingan lebih baik di sana.
“Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang dibincangkan oleh saya bersama jurulatih di mana ada bakat-bakat baharu yang dia mahukan dan dikenalpasti dalam kejohanan ini,” katanya.-UTUSAN