IPOH: Tiada insiden cubaan culik terhadap seorang kanak-kanak lelaki di Laluan Meru Perdana 13, Taman Meru Perdana di sini seperti mana yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad sebaliknya berkata, kejadian itu hanya salah faham ibu mangsa terhadap perbuatan suspek yang menghampiri kanak-kanak itu dan memberikannya wang.
Katanya, suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 35 tahun dan bekerja sebagai kontraktor.
“Kelmarin (Rabu) pada pukul 8.17 malam, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan polis dibuat seorang lelaki yang mendakwa terdapat cubaan culik anaknya berusia lima tahun oleh individu tidak dikenali di Chemor pada pukul 2 petang, hari yang sama.
“Tindakan segera diambil dengan mengenal pasti saksi dan suspek. Hasil siasatan mendapati, kejadian itu hanya salah faham ibu mangsa berhubung tindakan suspek menghampiri anaknya dan memberikan wang tunai,” katanya di sini hari ini.
Menurut Abang Zainal Abidin, semakan ke atas suspek tersebut mendapati dia tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
“Tiada sebarang kejadian cubaan culik dilaporkan berlaku di Ipoh. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu dan tidak benar di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, tular mesej di aplikasi Whatsapp berkaitan cubaan culik oleh individu yang menaiki kereta Proton Saga di sekitar taman perumahan di Meru, Ipoh. – UTUSAN