Sejak sekian lama tiada penyelesaian, kini masalah bundar dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah rendah dapat diselesaikan dengan mudah melalui kaedah Sate Bundar hasil inovasi guru daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Janda Baik di sini.
Bundar merupakan konsep sesuatu nombor itu sama ada bulat atau perpuluhan ditukar nilainya kepada nilai paling hampir dengan kehendak soalan.
Kaedah dicipta guru matematik Sekolah Kebangsaan Janda Baik, Zaleha Awang berjaya memenangi tempat pertama Anugerah Guru Inovatif: Individu Sekolah Rendah sempena Sambutan Hari
Guru Peringkat Kebangsaan ke-53 2024, baru-baru ini.
Sate bundar menggunakan paparan dan cara yang ringkas dengan menggaris, menarik lidi nombor sebelum menentukan jawapan dengan cepat dan tepat bagi membulatkan nombor kepada puluh yang terdekat.
Zaleha berkata, Sate Bundar dapat menyelesaikan masalah PdP berkaitan nombor bundar apabila murid-murid mampu memahami pengajaran hanya dalam sekali PdP sahaja.
Menurutnya, kaedah yang begitu mudah dan ringkas itu juga bukan sahaja untuk kegunaan murid darjah satu tetapi semua murid sekolah rendah sehingga darjah enam.
“Sebenarnya saya buat untuk PdP, untuk ajar murid tajuk bundar tetapi masa itu saya tengok bundar itu memang masalah daripada dulu, saya guna macam-macam kaedah, saya guna bukit dan macam-macam, lepas itu saya guna garis nombor tetapi apabila paparan nombor terlalu banyak, murid tidak faham.
“Masa itulah saya fikir macam mana hendak buat, murid yang pandai tiada masalah, tetapi mereka yang lemah tidak faham, (jadi) saya fikir balik, masa itulah dapat idea untuk sorok-sorok nombor, nombor paparan sikit sahaja, yang nampak satu paparan sahaja terus dapat jawapan,” katanya ketika ditemui di SK Janda Baik baru-baru ini.
Menurut Zaleha, Sate Bundar dilihat begitu mudah dan fleksibel kerana ia amat ringkas, senang untuk dipegang, ringan dan boleh disimpan di dalam beg untuk dibawa ke mana-mana sahaja.
Tambahnya, untuk membuat sate bundar juga hanya memerlukan kos RM1 sahaja dengan kebanyakannya menggunakan barang-barang kitar semula.
Guru Besar SK Janda Baik, Arbina Abdul Rahman berkata, Sate Bundar dapat memberikan murid-murid memahami dan menjawab soalan berkaitan bundar dengan mudah dan cepat. – UTUSAN