Innoqua-USM jalin kerjasama pulihara alga, rumput laut melalui R&D

Innoqua-USM jalin kerjasama pulihara alga, rumput laut melalui R&D

AZLAN Amran (dua dari kiri) bersalaman dengan Yota Takakura (dua dari kanan) semasa majlis menandatangani MoU antara Innoqua Inc. dan USM di Fakulti Sains Bukit Jambul, George Town, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dalam usaha memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pemuliharaan serta pemulihan alga dan rumput laut, sebuah syarikat berkaitan Biosphere Transfer Technology dari Tokyo, Jepun iaitu Innoqua Inc. menyatakan minat untuk menjalin kerjasama itu dengan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung semasa Sidang Kemuncak Akuakultur Mampan anjuran Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat Leave a Nest Co., Ltd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Innoqua, Yota Takakura, melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk melindungi sumber marin seperti rumpai laut dan rumput laut sambil mempromosikan pembangunan ekonomi mampan di rantau ini.

“Ekosistem marin di Asia Tenggara mempunyai kepelbagaian biologi yang tiada tandingan dan pemuliharaannya adalah penting untuk mengekalkan keseimbangan alam sekitar global,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Takakura hadir menandatangani MoU tersebut bagi mewakili Innoqua manakala USM pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Industri dan Rangkaian Komunitinya, Prof. Dr. Azlan Amran.

Takakura berkata, melalui kerjasama dengan USM, Innoqua akan menggunakan Biosphere Transfer Technology dan infrastruktur penyelidikannya di Asia Tenggara untuk terus memajukan usaha pemuliharaan dan penyelidikan alam sekitar.

“Innoqua telah menjalankan projek pemuliharaan dan penggunaan terumbu karang, rumpai laut dan rumput laut di Jepun dengan menggunakan teknologi Biosphere Transfer Technology. Jadi, dengan memperluaskan teknologi ini ke Asia Tenggara, Innoqua berhasrat mempromosikan penyelidikan ekosistem marin global selain meningkatkan kesedaran tentang nilai pemuliharaan marin,” katanya.

Tambah Takakura, teknologi teras Innoqua iaitu Biosphere Transfer Technology adalah teknologi asas Innoqua yang mereplikasikan persekitaran marin semula jadi dalam akuarium berasaskan daratan.

“Menggunakan peranti AI/IoT (kecerdasan buatan/Internet of Things) yang dibangunkan sendiri, teknologi ini memvisualisasikan faktor persekitaran utama seperti kualiti air, suhu, aliran, pencahayaan, serta hubungan antara mikroorganisma dan organisma hidup lain untuk menghasilkan keadaan yang hampir dengan persekitaran semula jadi.

“Teknologi ini membolehkan penciptaan persekitaran standard dan stabil untuk eksperimen dan analisis, tanpa mengira lokasi, menyediakan keadaan yang lebih terkawal daripada persekitaran semula jadi dunia sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bidang kerjasama yang akan dilaksanakan bersama USM pula merangkumi pertukaran pelajar dan kakitangan, program akademik, program penyelidikan dan pembangunan bersama, bengkel serta program latihan bersama, pertukaran penerbitan dan lain-lain.

“Selain daripada pemuliharaan, Innoqua juga berhasrat untuk melatih generasi penyelidik marin yang seterusnya melalui penyelidikan bersama dan program pendidikan, yang akhirnya memastikan pemeliharaan jangka panjang sumber marin,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya