Injunksi Mareva: Najib tarik balik rayuan

Injunksi Mareva: Najib tarik balik rayuan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik semula rayuannya berhubung perintah injunksi Mareva yang diperoleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menghalangnya memindah atau melupuskan mana-mana asetnya sehingga AS$681 juta (RM2.93 bilion).

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu berbuat demikian selepas permohonan tersebut menjadi akademik.

Perkara itu dimaklumkan peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee pada prosiding di Mahkamah Rayuan di sini, semalam.

Perintah injunksi Mareva adalah perintah sementara yang menghalang mana-mana defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes membabitkan plaintif dan defendan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Azman Abdullah membatalkan rayuan tersebut dan mengarahkan Najib membayar kos sebanyak RM30,000.

Perintah injunksi Mareva semalam adalah perintah kedua diperoleh syarikat berkenaan terhadap Najib. Kali pertama perintah Mareva dikeluarkan terhadap Najib diperoleh anak syarikat pelaburan stragetik negara, SRC International Sdn. Bhd.

Perintah Mareva pertama adalah bagi menghalang Najib daripada memindah atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta. Pada 6 Disember 2022, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk membatalkan perintah injunksi mareva oleh SRC International.

Najib memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan perintah injunksi Mareva kedua itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Atan Mustaffa Yussof Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati permohonan injunksi yang dimohon oleh 1MDB adalah wajar.

Permohonan injunksi Mareva sebelah pihak yang dipohon oleh 1MDB dan anak-anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) pada 8 Februari lalu.

Perintah itu juga antara lain menyebut, Najib mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya sehingga pada nilai AS$681 juta, sama ada di dalam atau di luar negara, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama defendan lain.

Selain perintah melarang Najib mengalih, melupus, mengendaliatau mengurangkan nilai asetnya di dalam negara, perintah Mareva itu tidak dibenarkan mengeluarkan wang melebihi RM100,000 sebulan daripada akaunnya untuk perbelanjaan sara hidup biasa dan perbelanjaan guaman.

Perintah itu berkuat kuasa sementara menunggu keputusan akhir kes saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap bekas Perdana Menteri dan bekas pengurusan kanan 1MDB.

Selain Najib, turut dinamakan dalam saman itu ialah bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam syarikat itu, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas Ketua Pegawai Operasi 1MDB Vincent Beng dan Radhi Mohamad.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jim; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya