MENYELAK profil kerjayanya dalam bidang seni, tidak keterlaluan seandainya dikatakan pelakon berwajah manis ini antara artis tanah air yang kurang hangat memeluk budaya kontroversi.
Qasrina Karim, meski sudah banyak berlakon dalam drama tempatan, namanya bagaimanapun umpama kalis daripada sebarang gosip panas sekali gus memperlihatkan dirinya tidak seperti mana-mana artis muda lain yang mengejar populariti dari sudut itu.
Daripada satu sudut pandang, iya, bagus untuk artis sepertinya bebas dan bersih daripada perihal kontroversi yang biasanya menjadi makanan atau trah anak seni.
Saat dilayangkan pertanyaan itu kepada empunya diri, pelakon berusia 29 tahun ini kelihatan cukup tenang. Bahkan sambil tersenyum, Qasrina menyusun butir bicaranya dengan begitu tertib, menyerlahkan sisi kelembutannya sebagai seorang wanita ayu.
“Mungkin ada antara artis lain yang selesa memilih jalan populariti dengan cara mencipta kontroversi demi memastikan nama mereka dikenali ramai. Bahkan, saya percaya, setiap pelakon ada cara dan strategi masing-masing dalam mencorakkan kerjaya seni mereka bagaimana.
“Tetapi bagi saya, tidak. Semata-mata hendak cepat popular, sensasi sehingga saya perlu buat begitu, itu bukan cara saya. Mungkin kedengaran agak klise, tetapi hakikatnya iya. Saya meletakkan kepercayaan kepada bakat seni yang dimiliki.
“Selain itu, saya juga letakkan kepercayaan kepada projek-projek yang saya pilih,”katanya.
Meskipun sedar, ada pendapat mengatakan kontroversi itu penting buat seseorang artis, namun bagi Qasrina, dia harus berlaku jujur dengan pekerjaannya kerana di hujung hari, dia tidak mahu hidup dalam keadaan tidak tenang hingga tidur juga boleh jadi tidak lena.
“Ya, saya tidak nafikan, isu panas, gosip, kontroversi, semuanya sering berlaku dalam industri. Tetapi, sebolehnya, saya mahu menjauhi perkaraperkara negatif itu. Ya, memang, kadangkala kita tak boleh lari daripada perihal seperti itu.
“Tetapi, kalau boleh elak, mengapa tidak bukan?”katanya dalam senyuman manis.
Tidak mencampuri perihal orang atau dalam erti kata lain, tidak gemar menjaga tepi kain orang, pelakon kelahiran Selangor ini mengakui, pada kebanyakan masa, dia lebih selesa berada dalam kepompong sendiri.
Bukan apa, kata Qasrina, hal itu lebih baik kerana sekurang-kurangnya dia mampu mengelak daripada terjebak melakukan hal tidak bermanfaat.
“Kalau nak tahu, saya ini seorang yang introvert sebenarnya. Masa mula-mula masuk industri seni, saya berdepan dengan kesukaran untuk bersosial, susah hendak sesuaikan diri, Namun demi kerjaya, kena juga paksa diri untuk bertemu orang.
“Sekarang keadaan itu sudah semakin baik berbanding dulu. Bagaimanapun, kalau tiada sebarang job berlakon, saya lebih suka meluangkan masa di rumah dengan keluarga dan kawan-kawan rapat.
“Bagi saya, masa untuk keluarga sangat penting. Sebabnya, bila kita sibuk kerja atau penggambaran sudah bermula, memang kadangkala masa dengan mereka tidak banyak. Saya pun jarang melepak, bukan bermakna saya tidak ada kawan, tetapi memang saya suka duduk di rumah,”katanya.
INSPIRASI PRINCESS DIARIES
SEMENTARA itu, jika diperhatikan, Qasrina ini juga begitu sinonim dengan watak Puteri Diraja sementelah wajahnya juga dilihat sesuai membawakan karakter seperti itu.
Maka, tidak hairanlah mengapa pengarah drama terbitan Astro Ceria, Legenda Puteri Qaseh, Umi Salwana dan Legenda Puteri Qaseh 2, Syamyl Othman tanpa ragu-ragu memilih dirinya untuk melengkapkan watak tersebut.
Terharu kerana dianggap sesuai dengan watak-watak puteri, kata Qasrina, dia menikmati setiap proses penggambaran untuk naskhah seperti itu kerana menganggap ia satu eskapisme buat dirinya lari sebentar daripada watak-watak serius.
“Bila dapat naskhah ringan seperti ini, saya jadi seronok sebab dapat ‘menghadiahkan’ dan menghiburkan audiens kanak-kanak pula dalam bentuk komedi. Sudah tentu saya okey dan suka.
“Lagi pula, watak puteri yang saya bawa itu tidaklah terlalu ayu. Dia lebih ceria, comel, walaupun kadang-kadang agak clumsy. Pendek kata, dia seorang puteri yang penuh dengan sifat lucu,”katanya.
Justeru, untuk membawakan watak sedemikian, kongsi Qasrina, dia memilih untuk merujuk filem-filem Disney yang terkenal dengan animasi dan karakter puteri-puteri diraja.
Bagaimanapun, satu yang paling suka dijadikan rujukan buatnya adalah lem berjudul Princess Diaries, lakonan Anne Hathaway.
“Filem itu banyak menyuntik inspirasi buat saya dalam menghidupkan watak Puteri Qaseh. Meskipun, pada awalnya watak saya biasa sahaja, tetapi kemudian barulah puteri ini tahu bahawa dia adalah anak raja dan perlu membawa watak mengikut protokol istana, sama macam watak dalam Princess Diaries,”katanya.
KESUKAAN PEMINAT REMAJA, KANAK-KANAK
DISEBABKAN wataknya sebagai puteri menjadi, Qasrina tidak menolak, kalangan peminatnya lebih ramai daripada kelompok remaja dan kanak-kanak.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi hal buatnya kerana secara peribadi, dia juga sukakan kanak-kanak.
“Tidak dinafikan, kerana watak puteri, ramai peminat saya adalah golongan kanak-kanak dan remaja. Bila ada kesempatan bertemu peminat atau mereka terserempak dengan saya di mana-mana, golongan kanakkanaklah yang paling teruja jumpa saya.
“Pengalaman itu juga menyeronokkan buat saya sendiri kerana berpeluang menyantuni anak-anak kecil ini. Bagi saya, gelagat anak kecil, memang sentiasa menyentuh hati. Sebab itu, saya tidak pernah menyesali terlibat berlakon dalam naskhah berbentuk komedi buat kanak-kanak.
“Saya seronok dapat menjayakan sebuah projek yang ringan dan ‘fun’ seperti ini, tak terasa terbeban sangat,”katanya.
Dalam pada itu, sebelum menutup bicara, Pancaindera sempat melayangkan pertanyaan tentang peluang untuk berlakon di luar negara.
Disambut dengan kata positif, pelakon ini tanpa ragu menyatakan keterbukaannya untuk mempertimbangkan sebarang peluang lakonan di luar negara sekiranya ada yang bersesuaian.
“Kalau ada projek yang lebih besar dan berkualiti, sudah tentu saya akan terima, tidak kisah untuk di dalam atau di luar negara.
“Saya memang memilih watak, sebab kadang-kadang ada watak yang rasa saya tidak boleh bawa. Cuma, kalau untuk watak jahat atau antagonis, saya kena tengok dulu sesuai atau tidak.
“Bukan apa, adakala watak jahat ekstrem ditawarkan tidak kena dengan imej saya yang bertudung,”katanya.