Individu ceroboh landasan punca operasi LRT Pasar Seni, KL Sentral terganggu - Utusan Malaysia

Individu ceroboh landasan punca operasi LRT Pasar Seni, KL Sentral terganggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Gara-gara seorang individu menceroboh masuk ke kawasan landasan di antara Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral telah menyebabkan berlaku gangguan operasi malam tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.08 malam.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) berkata, kakitangan Pusat Kawalan Operasi mengesan suspek menceroboh kawasan landasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di platform.

Menurutnya, atas faktor keselamatan serta mengikut piawaian standard operasi (SOP), bekalan kuasa terpaksa dimatikan bagi membolehkan Polis Bantuan serta petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk mencari suspek.

“Hasil siasatan mendapati, tiada kelibat suspek ditemukan setelah pemeriksaan landasan dijalankan beberapa kali oleh kakitangan operasi.

“Suspek dipercayai telah berjaya melarikan diri tanpa dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu, susulan kejadian pasukan Polis Bantuan Prasarana membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Dang Wangi bagi tindakan selanjutnya.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan tren Laluan Kelana Jaya kembali pulih sepenuhnya pada pukul 8.01 malam dan kekerapan perkhidmatan tren diselaraskan secara berperingkat.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan ini agar langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya