PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang terbukti melakukan salah laku.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan tegas akan diambil, tanpa mengira pangkat atau jawatan khususnya berkaitan siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ke atas beberapa pegawai Imigresen kerana disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing.
Dalam isu ini, beliau mengesahkan bahawa pihak EAIC telah hadir ke Ibu Pejabat JIM untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan dakwaan pelanggaran integriti oleh pegawai Imigresen terlibat.
“JIM menyerahkan kepada pihak EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah portal media melaporkan, beberapa pegawai JIM sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam ‘sindiket visa perubatan’ melibatkan warga asing oleh EAIC.
Siasatan tersebut melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lepas melibatkan satu negeri sahaja dengan setiap ‘kepala’ dikenakan bayaran sekitar RM4,500.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, pihaknya memandang serius dan sentiasa komited dalam memastikan tiada pelanggaran integriti selaras dengan fokus utama jabatan iaitu meningkatkan tatakelola, tadbir urus, disiplin dan integrity.
Katanya, hal ini bagi memperbaiki imej dan reputasi jabatan agar kembali dihormati dan disegani.
Orang awam dialu-alukan untuk melaporkan salah laku Pegawai Imigresen melalui talian 03-8801246 atau melalui e-mel [email protected] atau hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. – UTUSAN