LUMUT: Imam Masjid As Siddiq Taman Iskandar Perdana, Seri Iskandar maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 212.8 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara, dekat sini petang tadi.
Mangsa, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan Perodua Kembara dipandunya terbabas ke ladang kelapa sawit bersebelahan WCE.
Difahamkan, isteri mangsa baru melahirkan anak mereka di Hospital Seri Manjung (HSM) semalam.
Kemalangan berlaku selepas mangsa melawat isteri dan anak baharunya dan dalam perjalanan pulang ke Seri Iskandar untuk mengambil anaknya yang lain pulang dari sekolah.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.35 petang dan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan tiba di lokasi 13 minit kemudian.
“Sebaik tiba, didapati terdapat seorang lelaki telah tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.
“Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Arif Irfan Mokhtar kemudian mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa keluar dari kenderaan dengan menggunakan alat pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dengan operasi tamat pada pukul 5.37 petang. – UTUSAN