Ikan pemusnah habitat, ekosistem akuatik dirampas - Utusan Malaysia

Ikan pemusnah habitat, ekosistem akuatik dirampas

MOHD. Zolkafly Harun (tiga dari kiri) menunjukkan ikan mulut buaya yang dirampas dalam operasi di Kampung Tawas di Ipoh hari ini. -UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ikan pemusnah habitat dan ekosistem akuatik, Alligator Gar atau ikan mulut buaya antara ikan larangan yang dirampas daripada penjual ikan hiasan dalam operasi di Kampung Tawas di sini hari ini.

Operasi Pemutihan dan Kesedaran Ikan Larangan di premis atau kedai hiasan akuarium yang dijalankan turut merampas empat lagi spesis ikan pemusnah yang dijual sebagai ikan hiasan iaitu Pimelodidae atau Amazon Redtail, Ikan Bongkok (⁠Geophagus), Gulper Catfish dan Flower Horn.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sebanyak 49 ekor ikan pemusnah habitat dan ekosistem akuatik bernilai RM8,300 dirampas dalam operasi itu.

Katanya, operasi tersebut untuk memantau premis atau kedai akuarium ikan hiasan yang menjalankan aktiviti (5M) iaitu mengimport, memiliki, menjual, menternak, dan mempamer ikan pemusnah habitat di premis mereka.

“Operasi melibatkan dua aktiviti utama iaitu serbuan ke atas premis atau kedai akuarium ikan hiasan dan seterusnya memberi penerangan serta kesedaran berterusan berkenaan dengan ikan larangan, bukan sahaja kepada pemain industri, malah turut diperluaskan ke rumah-rumah ibadat.

“Ini penting agar orang awam maklum berkenaan ikan larangan dan ikan asing serta tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pelepasan ikan-ikan ini ke perairan umum.

“Ikan larangan ditakrifkan sebagai spesis ikan bukan asli yang diklasifikasikan berupaya memberikan kesan negatif atau bahaya kepada habitat atau ekosistem akuatik yang boleh memberikan kemudaratan kepada kesihatan dan kebajikan haiwan,” katanya.

Menurut Zolkafly, dalam Peraturan-peraturan Perikanan larangan import bagi ikan (Pindaan) 2024, tiada sesiapapun boleh mengimport, menjual, memelihara, menyimpan atau mempamer ikan larangan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Jadual kepada peraturan-peraturan ini kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah.

Katanya, larangan aktiviti 5M ikan larangan adalah dengan mengambil kira kesannya pada ekosistem, rebakan penyakit dan traumatogenik di perairan negara.

“Sesiapa yang menjalankan aktiviti 5M ikan larangan tanpa kebenaran Ketua Pengarah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya