Ikan patin di Shah Alam sah spesies asing - DOF

Ikan patin di Shah Alam sah spesies asing – DOF

TINDAKAN pelepasan ikan patin siam boleh mengancam keseimbangan ekosistem perairan tempatan. - Foto hiasan ihsan media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan bahawa patin siam yang dilepas di Shah Alam, Selangor baru-baru ini merupakan sejenis spesies asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, ikan tersebut dengan nama saintifik Pangasianodon Hypophthalmus malah boleh mengancam ekosistem biodiversiti tempatan.

“Spesies ini juga sebenarnya bersifat invasif mampu menjejaskan alam sekitar bahkan langsung tidak boleh dibuat aktiviti pelepasan perairan umum,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau merujuk penafian Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam enggan mengaku melepaskan ikan ‘alien’ penceroboh itu di tasik sempena satu pertandingan memancing.

Ia susulan bantahan keras Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar semalam yang kesal dengan tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melepaskan spesies tersebut.

Mengulas lanjut, Adnan menambah bahawa semakan DOF menunjukkan ikan patin siam diperoleh PBT itu daripada sumber penternak yang berdaftar dengan agensi berkenaan.

“Walau bagaimanapun, spesies tersebut hanya untuk program akuakultur iaitu ternakan dalam persekitaran terkawal tetapi tidak boleh dilepaskan ke tempat awam,” jelasnya.

Kelazimannya, patin siam dibiak dalam kolam atau sangkar dengan saiz panjang mampu mencecah satu meter manakala berat dewasa boleh menjangkaui hampir 20 kilogram.

Secara umum ujarnya, spesies invasif boleh meliputi aneka tumbuhan, haiwan, patogen atau organisma asing kepada ekosistem yang turut mengancam keseimbangan biologi.

Pelepasan ikan asing tanpa kawalan kata Adnan, juga dibimbangi berisiko mengakibatkan sumber makanan dan habitat populasi tempatan terjejas selain isu bawaan penyakit.

“Kami menggesa masyarakat agar tidak sesuka hati membuang ikan ‘alien’ ke dalam sumber air awam kerana ini penting untuk kelestarian ekosistem alam kita,” tegas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya