PETALING JAYA: “Idam trofi Oscar tak apa, tapi jangan memperkecilkan anugerah tempatan. Itu tidak adil.”
Demikian kata pelakon dan penyanyi, Naim Daniel yang bersikap ‘neutral’ ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang aktor baharu yang mendambakan pengiktirafan antarabangsa, Oscar.
Cakna dengan setiap ulasan mengenai isu tersebut, Naim berpendapat setiap pelakon senior sepatutnya tidak memperkecilkan impian pelapis baharu dalam industri seni tanah air.
“Bagi saya, tak baik kalau kita memperkecilkan impian orang walaupun perkara itu nampak mustahil. Benda-benda itu sebenarnya tidak mustahil walaupun orang kata impian itu percuma. Bagi saya okay saja.
“Kena beri mereka peluang. Bagi saya orang yang ada impian itu, orang yang ada tujuan daripada orang yang hanya ikut saja arus itu,” katanya.
Namun, penyanyi lagu Sumpah itu turut berpendapat tidak adil sekiranya pelakon baharu mempertikaikan kelayakan anugerah di tanah air meskipun sudah meletakkan impian yang tinggi dalam industri seni.
“Tapi kalau dia pertikaikan legit atau tidak anugerah itu, pandangan saya berbeza pula. Itu juga terletak pada cara kerja jugalah. Untuk orang kenal dia, dia kena tahu dia buat apa. Masa itulah dia boleh letak impian yang tinggi.
“Datuk Seri Siti Nurhaliza pun dah menang banyak anugerah di peringkat negara dan Asia tapi dia tahu nilai dia. Itu bukan sahaja memperkecilkan impian orang, tapi dia sudah memperkecilkan usaha mereka di sini juga,” jelasnya.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Naim ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran lagu baharu kumpulan Muah! yang berjudul BBF, di sini, kelmarin.
Meskipun sudah lama mencipta nama dalam industri, Naim bagaimanapun enggan memperlekehkan kerja keras pelapis baharu yang mahu mencipta nama di peringkat global demi membanggakan negara.
“Saya berdoa setiap hari untuk tidak rasa macam usaha orang lain tu kecil bila sudah jadi otai suatu hari nanti. Tak kisahlah pendatang baharu atau lama, kita raikan saja.
“Saya percaya setiap selebriti populariti mereka akan habis mengikut perubahan zaman. Saya pun nak kalau saya berpeluang untuk pergi Oscar.
“Apa pun saya harap masyarakat dan artis senior perlu sentiasa bagi sokongan yang baik kepada mereka yang berimpian tinggi. Mereka buat itu untuk negara kita juga sebab pasaran industri di sini kecil,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Naim kini merupakan vokalis kumpulan Muah! yang turut dianggotai oleh empat lagi ahli iaitu Zenith (gitar), Tasneem (bass), Mairil (drum) dan Ayai (keyboard). -UTUSAN