Ibu tunggal tekad keluar senarai asnaf

Ibu tunggal tekad keluar senarai asnaf

AZLINA Ramli (tengah) ketika hadir ke Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Cawangan Nilai, Seremban baru-baru ini bagi menarik diri daripada status asnaf. – IHSAN MAINS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kira-kira 15 tahun lalu, kehidupan lima beranak dari Labu, Nilai di sini serba kekurangan dan pernah bertahan hidup dengan makan mi segera serta telur sebagai pengalas perut.

Bagaimanapun, semuanya berubah selepas keluarga itu dibantu Baitulmal dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai penerima bantuan asnaf.

Kini, selepas kehidupan semakin baik dan semua anaknya sudah mampu berdikari serta mencari pendapatan sendiri, ibu tunggal, Azlina Ramli, 51, tekad keluar daripada senarai penerima asnaf.

Azlina yang merupakan seorang pekerja pembersihan berkata, sewaktu menerima bantuan tersebut, anak-anak­nya masih kecil dan dia perlu menanggung segala keperluan makan minum serta kelengkapan keluarga.

“Sayalah ibu dan sayalah bapa kepada anak-anak. Gaji diterima sekadar cukup makan, malah selepas bercerai dengan suami, anak-anak hanya me­numpang teduh di rumah ibu di Rumah Rakyat Labu Batu 10.

“Saya turut mengambil kerja sambilan di sekitar kawasan ini bagi menambah punca pendapatan. Kemudian nasib keluarga sedikit berubah apabila isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu meminta saya membuat permohonan di Baitumal. Sejak itu, saya me­nerima bantuan bulanan RM280 dan bantuan barang dapur sebanyak RM200,” katanya ketika ditemui di sini.

Kata Azlina, dia tergerak hati memohon keluar status asnaf ke­rana semua anaknya sudah meningkat dewasa dan mampu berdikari dengan mencari pendapatan sendiri.

“Dengan pendapatan saya sekarang sekitar RM1,300, ditambah mendapat bantuan kewangan dari anak serta adik-beradik, saya rasa ia sudah memadai. Saya rasa bertanggungjawab kerana memikirkan ada lagi orang yang betul-betul la­yak untuk mengisi tempat saya.

“Saya benar-benar berterima kasih kepada pihak Baitulmal kerana memberi bantuan asnaf fakir miskin buat saya dan anak-anak sehingga salah seorang anak saya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada semua penyumbang zakat di Negeri Sembilan kerana dengan sumbangan yang diterima ini, saya juga dapat menghantar kesemua anak ke sekolah dan membeli keperluan mereka supaya tidak tercicir dalam pelajaran mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya