GPMS gesa ibu bapa mesti lebih serius tangani isu kehadiran anak

Ibu bapa mesti lebih serius tangani isu kehadiran anak-anak ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) amat memandang serius pelbagai kenyataan yang berlegar di beberapa media kebelakangan ini yang memaparkan isu menormalisasikan urusan keluarga bagi mencutikan anak-anak daripada sesi persekolahan.

Perkara ini sebenarnya telah berlaku sejak sekian lama namun kebelakangan ini seolah-olah menjadi satu kecenderungan ibu-bapa menjadikannya sebagai alasan daripada anak-anak ke sekolah.

Bukan menujukan kepada semua ibu bapa namun tidak mustahil tindakan segelintir pihak berkenaan bakal menjadi wabak seandainya tidak dibendung lebih awal. Lebih merisaukan GPMS sekiranya hal ini akan menjadi salah satu punca kenapa anak-anak mula menjauhkan diri daripada sekolah serta tidak berminat untuk ke sekolah kerana mereka telah mendapat ‘keizinan rasmi’ daripada ibu bapa mereka sendiri.

Maka, GPMS berpandangan sekiranya kecenderungan ini terus berleluasa dan berterusan, maka akan berlaku sekali lagi keciciran generasi ataupun lebih mudah disebut sebagai the lost generation seumpama apa yang telah terjadi ketika wabak Covid-19 melanda pada 2020 dan 2021 yang lepas.

Hal ini perlu dipandang serius semua pihak dan mesti dielakkan daripada kembali berulang. Lebih membimbangkan apabila mereka yang mula memasuki alam persekolahan pada tahun 2020 dan 2021 kini berada di Tahun 4 dan Tahun 5 atau pun Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

Sewajarnya selain cuti persekolahan, cuti hujung minggu, cuti perayaan dan cuti peristiwa, cuti sakit sahaja yang boleh diterima pakai sekiranya murid dan pelajar mengalami masalah kesihatan yang disahkan oleh hospital, klinik kesihatan kerajaan ataupun mana-mana klinik persendirian.

Namun yang demikian, sekiranya pelajar perlu menguruskan urusan rasmi seperti urusan membuat kad pengenalan, urusan mengambil lesen memandu mahupun berlakunya kematian ahli keluarga terdekat, makluman rasmi serta permohonan mestilah dimaklumkan kepada pihak sekolah agar mendapat kebenaran yang jelas.

Isu menormalisasikan dan menghalalkan anak-anak untuk tidak ke sekolah dengan apa jua alasan juga akan memberi kesan yang besar pada minat mereka dalam pembelajaran.

MOHD. TARMIZI A.RAZAK ialah Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

*Pembaca sama ada individu, syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin mengemukakan komentar atau saranan terhadap sesuatu isu berkaitan pendidikan dan sekolah boleh e-mel kepada [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN