Hutang isi rumah Malaysia naik RM1.57 trilion

Hutang isi rumah Malaysia naik RM1.57 trilion

ANWAR IBRAHIM– JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hutang isi rumah Malaysia meningkat daripada RM1.53 trilion pada 2023 kepada RM1.57 trilion setakat Jun tahun ini.

Jumlah itu bersamaan dengan 83.8 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jenis pembiayaan terbesar hutang isi rumah adalah membabitkan pinjaman perumahan iaitu merangkumi 61 peratus diikuti pinjaman kenderaan (13.5 peratus), pembiayaan peribadi (12.4 peratus) dan pinjaman lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan sebagainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah lama mengambil pendekatan berhemat dan berhati-hati dalam menangani risiko keberhutangan tinggi itu bagi memastikan ia tidak menjejaskan daya tahan kewangan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara.

Katanya, sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengawal hutang isi rumah dan mengukuhkan daya tahan isi rumah termasuk melaksanakan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab sejak 2012.

“Dasar ini memastikan individu meminjam mengikut kemampuan, membayar balik pinjaman dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak beban hutang berlebihan.

“Hasilnya, sektor isi rumah meminjam mengikut kemampuan dengan nisbah khidmat hutang (DSR) kekal pada paras berhemat.

“Pada akhir Jun 2024, median DSR pinjaman terkumpul ialah 35 peratus, manakala median DSR bagi pinjaman baharu diluluskan adalah 41 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah kedua diambil kerajaan dan BNM adalah meningkatkan tahap celik kewangan rakyat menerusi Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) agar pengguna perkhidmatan kewangan mempunyai keupayaan dan keyakinan untuk membuat keputusan kewangan yang baik.

Katanya, satu inisiatif utama ialah Bulan Literasi Kewangan (FLM) yang diadakan setiap tahun pada Oktober.

“Aktiviti FLM termasuk pameran, ceramah, wawancara dan kempen kesedaran di media sosial,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembentangan cadangan Akta Kredit Pengguna (CCA) yang akan mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti penyedia Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan ditetapkan.

Katanya, standard kehematan dan garis panduan itu adalah yang berkaitan bagi melindungi pengguna kewangan dalam skim BNPL dan mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memantau tahap keberhutangan isi rumah dan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya