Hujan lebat paling buruk landa Perlis

Hujan lebat paling buruk landa Perlis

ANGGOTA APM memantau situasi banjir di Jejawi di Arau, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hujan lebat yang disifatkan paling buruk sepanjang tahun ini di Perlis dengan merekodkan taburan hujan melebihi sehingga 100 milimeter (mm) dalam tempoh beberapa jam semalam menyebabkan banyak kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas teruk khususnya di Kangar adalah seperti di Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Baru mankala di Arau membabitkan Kampung Bumbung Lima, Kampung Titi Besi, Kubang Gajah dan sekitar Jejawi serta di Padang Besar pula melibatkan lokasi sekitar Beseri.

Sementara jalan-jalan besar khususnya di Beseri, Repoh, Jejawi, Kubang Gajah dan beberapa lagi kawasan lain turut dilimpahi air.

Di Padang Pauh sehingga Balai Baru di Beseri di sini sahaja mendapati lebih 30 buah rumah dinaiki air hingga paras lutut.

Berdasarkan laman web Public Info Banjir, sehingga tengah malam semalam, paras air empangan Timah Tasoh berada pada paras amaran iaitu 29.52 meter (m) berbanding paras normalnya sekitar 29.10m.

Air Sungai Gial di Kampung Gial juga mencecah paras amaran apabila merekodkan paras 9.07m berbanding 8m bagi paras normal dan Sungai Kampung Bakau di Kangar juga sudah berada pada paras waspada apabila mencatatkan paras 3.05m berbanding 1.50m bagi paras normal.

Setakat pukul empat petang semalam, dengan cuaca agak baik menyaksikan kebanyakkan kawasan semakin surut.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri memaklumkan, pihaknya menerima 13 laporan berkaitan banjir kilat tersebut kesan daripada hujan lebat antara pukul 7 malam hingga pukul 1 pagi dan terus berlarutan sehingga pukul 4 pagi.

Rata-rata penduduk yang sekali lagi terjejas dengan banjir selepas tidak sampai sebulan menyifatkan ia juga berpunca daripada masalah sistem perparitan yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan negeri.

Seorang penduduk, Shafezahanim Ahmad, 40, berkata, banjir kilat pada kali ini berlaku cukup pantas dan paling teruk sepanjang tahun ini.

“Air naik cukup cepat dalam tempoh setengah jam sahaja sehingga menyebabkan saya tidak sempat memindahkan barang dengan hanya sempat membantu ibu saya yang berkerusi roda berada di tempat selamat.

“Nak minta tolong jiran pun tidak sempat, rumah mereka turut digenangi air. Mujur ada rakan-rakan lain yang membantu kami untuk memindahkan ibu ke tempat selamat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya