PETALING JAYA: Selain hubungan bersama ibu dan adik beradik kembali jernih, penyanyi, Shila Amzah turut dilihat sudah berbaik dengan bapanya, Datuk ND Lala.
Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 34, berasa sangat bersyukur dapat menghimpunkan seluruh ahli keluarganya di majlis akikah anak keduanya, Rhea Akira sebelum berangkat ke China.
“Sehari sebelum berangkat ke China, kami adakan majlis akikah untuk anak kami Rhea Akira.
“Terima kasih buat semua ahli keluarga dan kawan-kawan yang sudi hadir memeriahkan majlis kami,” katanya menerusi sebuah perkongsian di Instagram.
Dalam perkongsian yang sama, penyanyi lagu Memori Tercipta itu turut berkongsi foto mesra bersama bapanya ketika berada di atas pelamin sekali gus mencuri perhatian ramai.
Tersentuh dengan momen tersebut, perkongsian tersebut telah meraih pelbagai respons yang rata-ratanya kagum dengan penyatuan keluarga itu.
Malah, ada juga yang memuji suami penyanyi itu, Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd. Zulkefli, 26, yang dikatakan berjaya mendidik Shila menjadi isteri dan anak yang baik.
“Sampai masa, semuanya pulih, dan apa yang kau hajati miliki dua cahaya mata dikabulkan. Tapi cara Allah beri bahagia, Dia beri luka dahulu, untuk dapat nikmat. Saya gembira untuk kamu,” komen seorang pengikutnya.
“Ubai contoh suami yg baik, boleh kumpulkan semua ahli keluarga yang terpisah. Isteri yang baik hasil didikan suaminya,” komen seorang lagi pengikutnya.
“Alhamdulillah,yang berlalu biarlah berlalu. Keluarga tetap keluarga apapun jadi. Didoakan ikatan kekeluargaan berkekalan,” kata seorang peminatnya.
Terdahulu, hubungan Shila bersama ND Lala dikatakan menjadi dingin selepas bapanya itu berkahwin lain dan menceraikan ibunya, Fauziah Sarman.
Kemudian, Shila berdepan pula dengan konflik bersama ibu dan adiknya, Syada Amzah apabila penyanyi itu mahu menjual banglo yang didiami keluarganya itu kerana ingin digantikan dengan kediaman yang lain.
Bagaimanapun, hubungan mereka dilihat sudah pulih apabila Fauziah dan Syada turut hadir ke majlis akikah itu, pada Sabtu lalu.
Shila dan Ubai telah berkahwin pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 9 Mei lalu.
Untuk info, Shila juga pernah berkahwin dengan Haris Idraki pada tahun 2018 namun bercerai pada 2022.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais, 6. -UTUSAN