Hentikan ketegangan di Asia Barat

Hentikan ketegangan di Asia Barat

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menyeru semua pihak berkepentingan di Asia Barat supaya meredakan ketegangan yang semakin memuncak dengan segera kerana ia menjejaskan kestabilan rantau tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencerobohan dan serangan berterusan oleh Israel terhadap Lubnan, Syria dan Yaman adalah satu tindakan yang disengajakan.

Katanya, ia bertujuan mengalihkan perhatian masyarakat antarabangsa daripada kekejaman dan tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Ketegangan ini jelas bertujuan untuk mengekalkan kuasa politik pemimpin Israel dan mengelakkan daripada hukuman penjara, pembunuhan nyawa tidak berdosa demi karier politik individu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tegas Perdana Menteri, dunia harus bertindak segera bagi membendung tindakan susulan dan tindak balas berbahaya yang dikhuatiri akan melibatkan lebih banyak pihak ke dalam konflik tersebut.

Katanya, keterlibatan lebih banyak pihak dalam konflik tersebut hanya akan merumitkan lagi keadaan sekali gus memperluas skala kemusnahan.

“Malaysia menggesa semua pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera bagi mengurangkan ketegangan dan mewujudkan keadaan yang diperlukan bagi menghalang konflik serantau yang lebih luas daripada meletus,” katanya.

Ketegangan di Asia Barat kian memuncak apabila Israel melancarkan beberapa siri serangan udara terhadap Lubnan sehingga mengakibatkan kematian Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah di Beirut, dua hari lalu.

Susulan itu, Iran dilaporkan mula bertindak balas terhadap kematian Hassan Nasrallah yang merupakan sekutunya dengan melancarkan serangan peluru berpandu balistik berkelajuan tinggi dengan mensasarkan Tel Aviv, Israel.

Kestabilan rantau Asia Barat kini tidak menentu apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengatakan tindakan Iran itu merupakan satu ‘kesilapan besar’ dan bertekad membalas serangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya