Hasil karya kreatif bagi sebar mesej antidadah

Hasil karya kreatif bagi sebar mesej antidadah

KHAIRUL Anwar Bachok (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi acara Bicara Berirama yang disertai oleh 17 buah sekolah rendah di seluruh Negeri Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganjurkan Program Aspirasi Bahasa dan Sastera menerusi beberapa pertandingan kempen antidadah melibatkan sekolah rendah dan sekolah menengah di Perlis.

Penganjuran itu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dalam usaha mempelbagaikan kempen antidadah kepada kumpulan sasaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok berkata, pertandingan itu diadakan bersempena denga Peringatan Hari Antidadah yang diraikan AADK bermula Februari hingga Jun setiap tahun.

Menurut beliau, antara acara yang dipertandingkan adalah Pertandingan Bicara Berirama melibatkan murid sekolah rendah dan pertandingan Deklamasi Sajak serta Lagu Puisi melibatkan murid sekolah
menengah.

“Seramai 227 peserta dari 17sekolah rendah dan menengah sekitar Perlis menyertai pertandingan tersebut.

“Penganjuran program ini merupakan satu inisiatif penting dalam menyebarluaskan mesej antidadah serta meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah kepada kumpulan sasar,” katanya di sini.

Beliau menambah, melalui program ini, kreativiti dalam penggunaan bahasa para peserta dipupuk melalui pendekatan meneguhkan kemahiran asertif dan membangunkan tingkah laku positif dalam menolak pengaruh dadah.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menambah, isu penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan kesihatan fizikal, malah
memusnahkan masa depan, menghancurkan keluarga, dan melemahkan masyarakat.

“Justeru, usaha pencegahan dadah tidak boleh hanya disandarkan kepada undang-undang atau penguatkuasaan semata-mata sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk melalui sastera dan karya kreatif yang berupaya
menyentuh hati, mencetuskan pemikiran, dan mengubah tingkah laku khalayak sasaran.

“Dengan menekankan unsur seni bahasa dan sastera, program ini secara tidak langsung memberi ruang kepada pencinta seni dan bahasa dengan mengekspresikan pandangan mereka tentang bahaya dadah melalui pelbagai bentuk karya kreatif seperti puisi, sajak dan drama,” jelasnya.

Tambahnya, selain aspek kesenian, program ini juga dilihat dapat mendidik peserta mengenai cara-cara berkomunikasi dengan lebih yakin dan berani untuk berkata ‘tidak’ kepada dadah.

Jelasnya, ini adalah satu usaha yang bukan sahaja membangunkan kreativiti, malah memperkuatkan daya tahan remaja dalam menghadapi ancaman sosial seperti dadah.

“Sehubungan itu, AADK menyeru agar para peserta program ini pada akhirnya dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan melalui bahasa dan sastera.

“Setiap karya yang dihasilkan mampu membawa impak besar dalam menyebarkan mesej kebaikan dan kesedaran pencegahan dadah seiring dengan naratif Pencegahan Dadah Bermula di Rumah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya