Harimau sama dipercayai serang dua lelaki di JRTB - Utusan Malaysia

Harimau sama dipercayai serang dua lelaki di JRTB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak tidak menolak kemungkinan harimau yang menyerang seorang lelaki di Gerik dan warga Myanmar di Batu Melintang, Jeli, Kelantan adalah haiwan sama.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, ini berikutan lokasi dua kejadian itu terletak berhampiran kira-kira empat kilometer (KM) melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli selain insiden itu berlaku dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu katanya, Perhilitan Perak dan Kelantan telah memasang perangkap di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi haiwan liar itu berkeliaran.

“Kita syak serangan itu dilakukan oleh haiwan yang sama. Jadi, kita pasang perangkap untuk kesan harimau itu,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yusoff menasihatkan orang ramai terutama pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan terutama antara kawasan rehat dan rawat Banjaran Titiwangsa hingga ke Jeli agar berhati-hati dengan tidak berhenti atau turun dari kenderaan sebagai langkah keselamatan.

“Kita mohon kepada pekerja ladang di kawasan sekitar juga agar tidak bekerja berseorangan. Sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar sekali gus tidak melakukan provokasi,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu jentera berat, Adnan Ismail, 54, maut selepas diserang harimau di luar rumah kongsinya di Bagan Balak, Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli kelmarin.

Mayat lelaki itu dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi dengan kesan kecederaan parah di leher dan kaki kiri.

Sementara itu, seorang lelaki warga Myanmar menjadi mangsa kedua apabila dia ditemukan maut dalam keadaan mengerikan dengan paha kiri terputus selepas dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang sebuah rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Jeli-Gerik hari ini.

Mangsa yang berusia 34 tahun itu dijumpai di dalam kawasan hutan kira-kira pukul 9.15 pagi selepas rakannya terdengar bunyi harimau mengaum berdekatan ladang berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya