KUALA LUMPUR: Pelakon senior, Fauziah Ahmad Daud berpendapat industri seni teater tanah air perlu mula meletakkan harga tiket yang berpatutan untuk setiap naskhah yang bakal dipentaskan.
Menurut Fauziah atau yang turut dikenali sebagai Ogy, dalam pementasan teater pelbagai aspek perlu diambil kira yang bukan hanya tertumpu pada bayaran pemain sebaliknya pihak lain yang terlibat juga.
“Bagi saya, tidak mengapalah mahal kerana harga tiket konsert lebih mahal berbanding teater. Kita perlu fikir pelbagai aspek.
“Kita bukan hanya perlu membayar mereka yang terlibat sahaja. Kita juga ada pasukan pemasaran yang harus dibayar kerana mereka bekerja keras untuk mewar-warkannya kepada masyarakat tentang teater ini,” katanya.
Fauziah yang sudah lebih lima dekad berkecimpung dalam bidang tersebut bakal muncul dalam pementasan teater Di Sebalik Topeng arahan Zainorhisyam Samudin pada 19 dan 20 Oktober ini.
Tidak melatah apabila disoal mengapa harga tiket pementasan teater Di Sebalik Topeng terlalu mahal, Fauziah menyifatkan jumlah yang ditentukan tersebut berbaloi untuk menampung segala kos dan kudrat pihak yang terlibat.
“Semua itu perlu diambil kira. Saya rasa tiada masalah. Sebagai pemain teater, kami tidak boleh selalu infak kudrat kami,” jelasnya ringkas.
Sementara itu, pelakon dan penulis skrip Sobri Anuar turut bersetuju dengan pendapat Fauziah selain mahu melihat perubahan yang positif terhadap kemajuan industri teater tanah air.
“Sudah tiba masanya untuk kita letakkan harga yang sepatutnya dalam industri seni teater.
“Selama ini ada yang menjual harga tiket teater serendah RM10, ada juga yang percuma. Jadi, tidak salah untuk beri nilai yang baru untuk teater,” katanya. –UTUSAN