KANGAR: Selepas hampir dua tahun sepi, permintaan ketum di Thailand kembali rancak berikutan kerajaan negara gajah putih itu dikatakan dalam proses melarang semula penanaman tumbuhan tersebut.
Jika kerajaan Thailand menguatkuasakan larangan bagi penanaman atau penjualan ketum, harga pasaran dijangka kembali mencecah sehingga RM180 sekilogram dengan aktiviti seludup juga bakal kembali aktif.
Selepas Thailand ‘menghalalkan’ ketum sebelum ini, aktiviti penyeludupan daun berkenaan di sempadan agak sepi malah harganya merundum sehingga RM8 sekilogram.
Ketika ini, harga ketum di Thailand mula meningkat antara RM30 hingga RM50.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, semasa peringkat awal kerajaan Thailand membenarkan tanaman ketum di negara itu, harga pasarannya telah merundum jatuh sehingga RM8 sekilogram malah aktiviti penyeludupan juga turut berkurangan.
Katanya, jika kerajaan Thailand kembali mengharamkan daun ketum, berkemungkinan harganya akan melonjak dan mendapat permintaan tinggi sekali gus menyebabkan penyeludup kembali beralih mengambil bekalan di negara ini.
“Malah, dalam kes kelmarin, kita berjaya merampas satu tan metrik ketum dianggarkan bernilai RM50,000 dirampas kedudukan 0.4 batu nautika timur laut muara Kuala Sanglang
“Bot membawa ketum berkenaan dipercayai dari Thailand dan disyaki mengambil bekalan ketum di sekitar Kedah untuk diseludup ke negara jiran,” katanya di sini, semalam.
Pada Ogos 2021, Thailand memutuskan untuk mengeluarkan ketum dari senarai dadah yang berbahaya digunakan di negara berkenaan.
Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri berkata, perubahan tersebut menyaksikan orang awam boleh menggunakan atau menjual ketum secara sah di sisi undang-undang.
Susulan itu, harga ketum Malaysia di Thailand yang pernah mencecah RM180 sekilogram turun mendadak sehingga RM30 ke RM20 sekilogram susulan polisi negara jiran itu.
Penurunan harga sehingga 200 peratus itu turut menyaksikan aktiviti penyeludupan daun berkenaan di sempadan di negeri ini semakin berkurangan sehingga 50 peratus dengan tumpuan jualan daun dan air ketum lebih berfokus kepada pasaran domestik.
Dalam pada itu, Mohd. Hashim berkata, rampasan terbesar ketum di negeri ini pernah direkodkan pada 2022 melibatkan 8.3 tan metrik dengan anggaran nilai RM1.8 juta.
“Kita akan meneruskan melakukan pemantauan berterusan selepas ini bagi memastikan kegiatan penyeludupan ketum tidak berleluasa dan tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN