KUALA NERUS: Kisah seorang graduan cemerlang Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang pernah mengukir senyuman kejayaan dengan pencapaian akademik kelas pertama sepanjang pengajiannya, kini bertukar duka apabila diuji dengan musibah yang tidak diduga.
Nur Ni’matul Ain Bardan, 23, anak kedua daripada tiga beradik seharusnya melangkah penuh keyakinan ke dunia pekerjaan selepas berjaya menamatkan pengajian. Namun, impiannya untuk mengejar cita-cita kini seolah-olah semakin kabur.
Tiga hari selepas pulang dari kampus UMT untuk bercuti semester sebelum memulakan Latihan Industri di semester akhir, graduan Sarjana Muda Sains Biologi yang lebih mesra dengan panggilan Ain itu diserang masalah saraf yang menyebabkan lumpuh separuh badan. Sejak itu, Ain hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda, bergantung sepenuhnya kepada bantuan ahli keluarga untuk melakukan aktiviti harian.
Sebagai seorang pelajar yang sentiasa cemerlang, Ain menyimpan impian besar untuk menjadi tulang belakang keluarga, memberi sokongan kewangan kepada ibu bapanya yang menetap di perkampungan felda Kota Gelanggi, Jerantut.
Graduan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin itu berkata, penyakit yang menyerang secara tiba-tiba itu telah memusnahkan harapannya untuk membantu keluarga.
“Sebelum ditimpa musibah ini, saya bercita-cita dan harapan menggunung untuk membantu keluarga keluar daripada kesusahan.
“Tapi saya rasa amat sedih bila diuji dengan keadaan seperti ini dan ia telah meragut keupayaan saya untuk berdiri teguh demi merealisasikan impian dan cita-cita saya sebelum ini.
“Segalanya berlaku begitu pantas. Saya masih ingat kegembiraan saat pulang bercuti dengan penuh semangat untuk memulakan Latihan Industri. Tidak pernah terlintas di fikiran saya akan diuji dengan kesukaran sebegini.”
Perjalanan harian Ain kini penuh dengan cabaran. Kesukaran untuk bergerak, bergantung kepada kerusi roda, dan keterbatasan fizikal yang dialami menyukarkan Ain untuk meneruskan aktiviti seperti orang biasa.
Namun begitu, Ain tetap tabah menghadapi ujian hidup ini. Meskipun harapannya untuk pulih sepenuhnya semakin pudar, Ain tidak pernah berputus asa.
“Keluarga saya adalah kekuatan saya. Mereka sentiasa ada di sisi, membantu saya bangkit walaupun saya sendiri sering rasa hilang arah. Saya masih mencuba untuk mendapatkan rawatan dan berharap ada jalan untuk saya kembali sihat.”
Sementara itu, bapa Ain, Bardan Husin, 66, berkata, Ain merupakan anak yang rajin berusaha terutamanya dalam akademik.
“Dia anak yang ceria sejak zaman kanak-kanak sehingga masuk ke sekolah berasrama penuh. Tidak pernah ada masalah kesihatan serius sejak lahir, tapi kami redha dengan takdir ini.
“Ain rajin berusaha dan pencapaian akademik sangat bagus dari sekolah rendah sehingga ke kolej matrikulasi dan di UMT.”
Tambahnya, doktor menasihatkan untuk mengikuti sesi fisioterapi selepas melihat perubahan positif dialami Ain setelah mengikuti sesi rawatan susulan hampir 1 tahun.
“Doktor yang merawatnya kata peluang untuk sembuh masih ada dan kami sememangnya berharap agar dia kembali sihat untuk menebus cita-cita yang tertangguh dan itu amat menggembirakan kami sekeluarga”. Katanya.
Keterbatasan fizikal yang ditanggung Ain tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha mencari jalan pulih dan berdoa agar ada sinar harapan yang akan mengembalikan kekuatannya suatu hari nanti. – UTUSAN