Hapuskan unsur-unsur pengkultusan, MAIPs beri sumbangan zakat pada bekas ahli GISBH - Utusan Malaysia

Hapuskan unsur-unsur pengkultusan, MAIPs beri sumbangan zakat pada bekas ahli GISBH

MOHD. Asri Zainul Abidin menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM5,000 kepada bekas ahli GISBH di pejabat Perlis Centre of Wisdom, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu ajaran sesat yang sukar dibendung dan tumbuh semula setelah diambil tindakan adalah berpunca daripada unsur-unsur pengkultusan yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan.

Bagi mengatasi masalah tersebut adalah dengan menghapuskan akarnya iaitu pengkultusan tersebut yang mendewakan pemimpin agama melebihi tahap yang diajar di dalam al-Quran dan Sunnah sehingga akhirnya menjadikan akal mereka berfungsi dengan mengikut sahaja apa yang salah dan sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, hal tersebut sentiasa berulang kerana tidak dihapuskan akar tersebut dan di dalam fatwa negeri ini, mereka berusaha menghapuskan akar berkenaan agar tidak ada pengkultusan terhadap golongan agama ini.

Beliau berkata, mereka mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan tuhan.

“Isu-isu seperti ini terus berlaku kerana ada unsur-unsur pengkultusan dengan mengkultuskan, mendewakan pihak yang memakai baju agama ini sama ada pemimpin agama, tok guru, ustaz melebihi tahap yang diajar dalam al-Quran dan Sunnah.

“Saya juga sangat berterima kasih, apa disebut pihak Ketua Polis Negara, Perdana Menteri berkaitan soal ketaksuban yang melampau yang akhirnya digunakan sebahagian pihak untuk mengekplotasi mereka yang lain.

“Dia membina satu ketaksuban yang melampau, kultus itu, sehingga akhirnya beribu-beribu manusia terjerat dengan mengikut sahaja apa disuruh seperti perlu bercerai mereka bercerai, berpisah dengan anak selain taat secara membuta tuli.

“Kalau nak hapuskan hal ini daripada masyarakat kita hendaklah menjadikan ajaran pengajian agama kita sentiasa menentang pengkultusan ini. Sebagai manusia semua ada salah dan silap yang maksum adalah Rasulullah SAW,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan zakat kepada seorang bekas ahli kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di sini hari ini.

Tambah Mohd. Asri, pihaknya juga ada menerima maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat lain yang coraknya lebih kurang sama dengan kumpulan GISBH.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mengulas lebih lanjut memandangkan ia bukan berlaku di negeri ini.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan yang disifatkan lambat terhadap kumpulan GISBH atau ajaran sesat lain, Mohd Asri berkata, di Perlis tindakan agak segeralah bagaimanapun di negeri-negeri lain mereka ada pentadbiran sendiri.

“Kita juga mengharapkan semua pihak segera dalam hal-hal seperti ini (mengekang dan ambil tindakan) terhadap ajaran sesat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perlis terus menggerak langkah awal dengan menyalurkan sumbangan zakat kepada bekas ahli GISBH bagi memulakan kehidupan baharu.

Mohd, Asri memberitahu, sumbangan zakat bernilai RM5,000 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu diharap dapat membantu individu berkenaan memulakan kehidupan baharu dengan berniaga atau sebagainya.

Kata beliau, pihaknya juga mengalu-alukan bekas ahli GISBH yang mempunyai kesedaran untuk berubah agar memohon zakat yang akan dipertimbangkan.

“Kita berpendapat negeri Perlis berdasarkan jawatankuasa fatwa negeri bahawa zakat melalui bahagian-bahagian tertentu sebahagianya boleh digunakan dalam membantu, memulihkan ahli-ahli GISBH ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya