Hanya mampu berdoa melihat bumbung rumah terbang

Hanya mampu berdoa melihat bumbung rumah terbang

MAWARDI Mahmud mengemas barang yang rosak selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Gong Pauh, Kemaman, Terengganu semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang pemuda terkejut apabila melihat kese­luruhan bumbung kediamannya diterbangkan angin dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda Kampung Gong Pauh, Chukai, dekat sini, petang semalam.

Mawardi Mahmud, 27, berkata, ketika kejadian, dia yang sedang tidur di kedai adiknya bersebelahan rumah pusaka peninggalan ibu dan bapanya terjaga selepas mendengar bunyi bising dari kediamannya.

“Saya tinggal di rumah pusaka itu sejak tujuh tahun lalu selepas kematian bapa. Masa tidur, saya terjaga selepas dengar bunyi angin yang sangat kuat dari rumah saya.

“Saya intai melalui tingkap kedai dan melihat satu persatu atap zink serta kayu bahagian bumbung diterbangkan angin. Kejadian ribut itu terlalu pantas, tak sampai 10 minit, habis semua bumbung rumah saya terbang,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Sementara itu, seorang warga emas, Abdullah Zawawi Che Yaacob, 63, berkata, dia dan isteri, Wan Kharzimi Wan Abd Manan, 57, serta tiga anak yang sedang berehat di ruang keluarga, nyaris dihempap siling kapur rumahnya yang tiba-tiba runtuh dalam kejadian itu.

“Semasa kejadian, hujan terlalu lebat dengan angin yang sangat kuat. Mujurlah isteri sempat menarik saya yang sedang duduk di atas sofa dan anak-anak juga sempat lari, sekelip mata siling dan bumbung rumah kami runtuh.

“Anak lelaki saya sempat melaungkan azan untuk meredakan ribut. Masa kejadian kami hanya berdoa sebab tak tahu nak menyorok di mana, bimbang semua atap runtuh,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nur Elyana Sofea Zulkamiran, 19, berkata, dia yang mengandung tujuh bulan mendukung anak lelakinya yang berusia dua tahun dan memimpin bapanya yang uzur ke ruang dapur untuk menyelamatkan diri selepas bumbung di ruang tamu rumahnya diterbangkan angin.

“Ketika kejadian kami hanya bertiga, suami saya belum pulang, saya sempat melihat pusaran angin di hadapan rumah ketika hujan lebat, sebelum angin itu menerbangkan atap rumah saya.

“Memang kami sangat takut sebab tak pernah alami angin kuat dan hujan lebat begini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, kira-kira 244 buah rumah di sembilan buah kampung di Chukai mengalami kerosakan dan banyak fasiliti termasuk papan tanda, tiang elektrik turut terbalik dan khemah perniagaan juga diterbangkan angin dan dihempap pokok tumbang.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang mangsa, Mohd. Firdaus Abu Hassan, 35, patah kaki kanan selepas bumbung wakaf di Pantai Teluk Mak Nik, tiba-tiba runtuh ketika dia sedang berteduh ketika kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya