LUMUT: Lebih 1,800 peserta menyertai program berbasikal secara santai sejauh 75 kilometer (KM) menerusi program ‘Janamanjung Fellowship Ride (JMFR) 2024’ hari ini.
Kayuhan itu bermula di kawasan Teluk Batik melalui Jalan Raya Ipoh-Lumut menyusuri kawasan Sitiawan, Ayer Tawar, Changkat Keruing, Pantai Remis, Segari, Damar Laut dan kembali semula ke Teluk Batik.
Pelepasan bagi program edisi khas sempena ulang tahun ke-75 Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kemudian turut menyertai acara Kayuhan Khas sejauh 7.5 KM iaitu dari Teluk Batik menuju ke Marina Island dan kembali ke Teluk Batik.
Program itu turut disertai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan serta barisan kepimpinan tertinggi TNB.
Pada majlis itu, sebanyak 75 basikal dan 75 kotak makanan disumbangkan kepada pelajar sekolah dan mereka yang memerlukan di daerah Manjung oleh Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS) dan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB (PKPI).
Seramai 29 pelajar daripada 10 sekolah sekitar daerah Manjung menerima manfaat daripada program tersebut.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Fadillah mengucapkan tahniah kepada TNB dan rakan kongsinya kerana melaksanakan program tersebut yang disertai peserta dari seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Britain.
Jelasnya, program mengayuh basikal secara santai itu pernah diadakan sebelum ini tetapi tergendala selama beberapa tahun disebabkan pandemik Covid-19, sebelum dimulai semula hari ini.
“Program ini bukan sahaja mengeratkan persaudaraan di kalangan masyarakat dan peminat sukan berbasikal, tetapi juga sebagai usaha membudayakan hidup sihat dengan aktiviti riadah berbasikal ini,” ujarnya.
Beliau memberitahu, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dilaksanakan berikutan TNB menjana tenaga di daerah Manjung dan memberi manfaatnya semula kepada masyarakat setempat. – UTUSAN