ALOR SETAR: Banjir lebih buruk diramal akan berlaku di negeri ini sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka selama tiga hari bermula 18 Oktober ini.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, berdasarkan ramalan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bacaan paras air laut dijangka mencecah tiga meter ketika itu.
“Kita sudah bersedia dengan membuat segala persiapan termasuk keanggotaan bagi menghadapi kemungkinan yang lebih dahsyat.
“Kami juga sentiasa berhubung dengan ibu pejabat APM bagi memaklumkan situasi semasa dan akan memohon bantuan APM negeri lain sekiranya situasi menjadi lebih buruk,” katanya ketika meninjau dan melakukan operasi memindahkan mangsa di Kampung Seberang Anak Bukit, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kejadian banjir yang melanda negeri ini sebanyak tiga kali sejak 16 September lalu berlaku di hampir kesemua 114 lokasi panas.
“Ketika ini sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di lima daerah iaitu di Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Baling dan Pendang.
“Terdapat lapan sungai di negeri ini yang telah melebihi paras bahaya dan paling kritikal adalah di Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar,” ujarnya.
Ujar beliau, punca peningkatan air secara mendadak di kawasan terjejas adalah disebabkan hujan pada waktu petang dan malam dengan kadar yang ekstrem.
“Selain itu, faktor hujan di kawasan hulu seperti Padang Terap menyebabkan kuantiti air sungai yang banyak mengalir turun ke Kubang Pasu dan Kota Setar. Banjir di beberapa tempat lambat surut disebabkan air mengalir perlahan ke laut kerana sungai penuh,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, terdapat segelintir penduduk yang terjejas banjir masih enggan berpindah ke PPS kerana bimbang dengan keselamatan barangan peribadi yang ditinggalkan di rumah.
“Mereka juga menganggap banjir mungkin akan surut dalam masa dua atau tiga jam. Kita ingin menasihatkan orang ramai yang berhadapan banjir agar segera berpindah atas faktor keselamatan,” jelasnya. – UTUSAN