“SAYA Sharul Kamal, bukan Hafidz Roshdi, Akim Ahmad atau Khai Bahar.”
Kedengaran jenaka atau remeh-temeh. Tetapi, bila sudah terima makian depan muka atau dihina di media sosial tanpa sebab, mungkin ketika itulah semuanya bukan lagi gurauan.
Belum lagi pelbagai ugutan mahu menyekat aplikasi TikTok pelakon ini setiap kali dia bersiaran langsung.
Pelakon, penyanyi yang juga peserta Akademi Fantasia 2015, Sharul Kamal, 27, tidak berkecil hati jika namanya masih belum cukup dikenali walaupun sudah 9 tahun mencari makan dalam industri hiburan negara.
Cuma hatinya tersinggung apabila masyarakat mudah menghukum tanpa menyelidiki kebenaran hanya kerana wajahnya dikatakan sama dengan selebriti lain.
“Saya pernah kena maki depan muka semasa kes Hafidz Roshdi hangat dibicarakan. Ketika itu saya berada di sebuah kedai makan, mahu basuh tangan sebelum didatangi seorang wanita berpangkat makcik yang menegur saya dan bertanya adakah saya sedang menjalani penggambaran?
“Saya layan seperti biasa, saya fikir dia tahu saya adalah pelakon dan kebetulan memang saya sedang ada penggambaran di kawasan situ. Tiba-tiba dia kata ‘tak baik buat isteri begitu, Astaghfirullahalazim
’. Keluarganya yang menyaksikan situasi itu memberitahu kepada wanita itu bahawa saya bukan Hafidz.
“Saya malu dan terus bergerak dari situ,” katanya yang pernah bergandingan dengan Hafidz dalam drama Melastik Ke Hatimu 2.
Sayangnya ia bukan satu-satunya situasi canggung yang dialami penyanyi lagu Bunga Angkasa itu. Sudah memiliki lima lagu single, ada pula beranggapan dia adalah Akim Ahmad.
Bukan itu sahaja, ada juga pihak yang mengatakan anak jati Negeri Sembilan itu tidak mempunyai prinsip hidup, meniru gaya artis lain seperti Akim atau Khai Bahar.
“Ada juga yang salah tiba-tiba suruh kirim salam pada Stacy kerana mereka ingat saya Akim.
“Orang marah kenapa saya nak jadi Akim, Khai atau Hafidz. Itu saya geram. Sebab mereka tidak tahu perjalanan 9 tahun ini saya memang menjadi saya. Kalaulah mereka tengok filem, drama dan dengar lagu yang saya nyanyikan. Itu adalah saya, Sharul Kamal, bukan jadi orang lain,” jelasnya.
Platform untuk dikenali
Mempertaruhkan tenaga dan bakat untuk bertanding di pentas Famili Duo musim ke-4 bersama sepupu, Tomok. Sharul berharap keberadaannya di pentas itu akan membuka mata lebih ramai manusia siapa dirinya yang sebenar walaupun seminggu sebelum pertandingan tekaknya mengalami jangkitan kuman.
“Bila doktor masukkan kamera, bahagian tekak saya merah. Saya memang tidak boleh menyanyi ketika itu. Mujurlah lagi beberapa hari sebelum konsert, saya lakukan pemeriksaan dan diizinkan doktor pakar untuk membuat persembahan.
“Saya berharap sangat pada platform sebegini untuk membantu orang mengenali saya sebagai Shahrul kamal. Setiap persembahan saya akan sebut nama, saya penat sebab 9 tahun orang belum ingat lagi nama itu. Tambahan pula muka saya ini terlalu universal, muka awam,” katanya.
Terdahulu, Sharul dan Tomok memenangi gelaran Duo Terbaik untuk konsert Famili Duo minggu pertama.
Membawakan lagu Aku Penghiburmu nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan Gerhana oleh Datuk M Nasir dengan cemerlang, pasangan sepupu itu memenangi hadiah wang tunai bernilai RM10,000.