SUNGAI BULOH: Polis mengesahkan remaja perempuan yang disangka hilang oleh ibunya ditemukan semula.
Kehilangan Gya Natasya Abdullah, 18, dilaporkan sejak petang semalam selepas gagal dihubungi keluarganya ketika dia pulang dari kerja di Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya dimaklumkan oleh ibu remaja itu bahawa anaknya telah pulang pada pukul 8.15 pagi.
“Ibu remaja itu juga telah memaklumkan dalam TikTok bahawa anaknya telah balik (rumah).
“Dimaklumkan, telefon bimbit remaja itu hilang semasa berada di MRT di Stesen Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur,” katanya di sini.
Terdahulu, kehilangan remaja itu tular di media sosial Facebook.
Susulan itu, ibu mangsa berusia 40-an turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh pada pukul 10.49 malam semalam.
Ibu remaja berkenaan, Jihan Nazira Mohamed Nazib berkata, anak perempuannya itu sepatutnya turun di Stesen MRT Sungai Buloh, namun terpaksa turun di Stesen MRT TTDI kerana sakit perut.
“Dia turun di MRT TTDI dan ke tandas sebelum menyedari telefon bimbitnya hilang,” jelasnya.
Jihan berkata, kepulangan semula anaknya itu juga sudah dimaklumkan kepada Ketua Balai Polis Kuang. – UTUSAN