BUTTERWORTH: Penggunaan kaedah pengimbasan kod QR melalui sistem e-Bencana lebih efektif dalam memudahkan urusan pendaftaran mangsa ketika bencana.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Taib berkata, dengan adanya kod QR, proses pendaftaran dapat dilakukan dengan cepat dan sistematik sekali gus mengurangkan kesesakan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sistem ini kita sudah mula dilaksanakan tahun ini, malah, kita juga guna kaedah tersebut semasa kejadian Monsun Timur Laut (antara 18 hingga 22 Oktober) baru-baru ini. Terbukti, ia memudahkan lagi tugas dan tanggungjawab kakitangan di bahagian pendaftaran.
“Kaedah ini juga mampu mempercepat pengumpulan data dan mangsa-mangsa yang datang ke PPS tidak perlu mengambil masa lama untuk mendaftar.
“Lebih penting, ia dapat mengelakkan golongan warga emas mahupun orang kurang upaya (OKU) daripada terus menunggu di kaunter pendaftaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penutup Pelaksanaan Latih Amal Dan Simulasi Pengurusan PPS oleh JKM Pulau Pinang 2024 di Dewan Panorama dekat Bagan Ajam, di sini, semalam.
Zakaria berkata, penggunaan sistem e-Bencana dalam situasi kecemasan menunjukkan kemajuan teknologi maklumat masa kini dapat membantu petugas di lapangan dalam pengurusan bencana dengan lebih tangkas dan tepat.
Kata beliau, sebanyak 13 agensi turut terlibat bagi menjayakan latihan simulasi bencana itu termasuk JKM Seberang Perai Utara (SPU), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah dan Tanah Daerah SPU serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU.
Menurutnya, di Pulau Pinang sendiri sebanyak 400 PPS disediakan dengan 128 daripadanya di daerah SPU selain mampu menampung seramai 9270 orang mangsa bencana dalam satu-satu masa. – UTUSAN