PETALING JAYA: Sebuah gudang di Jalan IDA 1, Taman Perindustrian KIP, Sungai Buloh. Selangor musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.54 tengah malam.
“Sebaik sahaja tiba, kami dimaklumkan mengenai kebakaran membabitkan sebuah gudang penyimpanan tayar, bateri dan kereta bugi golf.
“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 85 peratus kemusnahan membabitkan gudang berkenaan.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian terbabit,” katanya.- UTUSAN