Gubal undang-undang khas elak seleweng dana infak, sedekah - MCW

Gubal undang-undang khas elak seleweng dana infak, sedekah – MCW

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan undang-undang khas untuk mengawal selia institusi infak dan sedekah bagi mengelakkan penyalahgunaan dana sekali gus meningkatkan integriti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang melakukan kerja-kerja sosial itu.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Karim berkata, punca utama berlakunya  penyelewengan dalam institusi infak dan sedekah kerana tiada undang-undang khusus untuk mengawal selia institusi-institusi tersebut. 

“Malaysia belum mempunyai akta atau undang-undang khusus yang secara tegas mengawal selia pendanaan institusi infak, sedekah atau NGO yang tidak berdaftar, menjadikan mereka terdedah kepada salah guna kuasa. 

“Walaupun terdapat undang-undang seperti Akta Pertubuhan 1966 dan garis panduan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pengawalseliaan kewangan dan aktiviti NGO terutamanya dalam konteks infak, sedekah dan zakat  belum memadai,” kata beliau.

Oleh itu, kata beliau, terdapat  ruang perlu ditambah baik kerajaan bagi menyekat sesetengah pihak yang  menggunakan NGO sebagai platform untuk tujuan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan dana yang dikumpulkan.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua agensi dan institusi amal jariah di Malaysia agar tidak mengkhianati amanah yang diberikan oleh mereka yang berinfak atau bersedekah.

Penyelewengan dana sumbangan dan pengurusan yang tidak telus akan menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan terhadap institusi yang terlibat mengutip infak sekali gus menyebabkan mereka tidak berminat untuk bersedekah.

Mengulas lanjut, Jais berkata, institusi infak dan sedekah yang terlibat dalam penyelewengan akan menggunakan beberapa modus operandi.

Katanya, institusi infak dan sedekah sering menyorokkan atau memanipulasi jumlah kutipan dan perbelanjaan sebenar, menggunakan nama dan imej agama, 

“Mereka mungkin tidak memberikan laporan kewangan yang lengkap atau tepat kepada para penyumbang atau pihak berkuasa serta mereka akan memanfaatkan imej agama untuk menarik simpati penyumbang dengan menganjurkan program yang kononnya berunsur kebajikan atau pembinaan masjid dan sekolah, tetapi dana tersebut digunakan untuk kepentingan peribadi atau aktiviti haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya