Guan Eng janji beri projek terowong dasar laut secara terus 

Guan Eng janji beri projek terowong dasar laut secara rundingan terus: Saksi 

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Lim Guan Eng pernah menjanjikan projek terowong dasar laut Pulau Pinang diberikan kepada seorang ahli perniagaan melalui rundingan terus jika beliau berjaya mengatur majlis pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat di China.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli mendakwa, beliau dijanjikan demikian oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu jika kerajaan negeri memeterai MoU dengan dengan Beijing Urban Construction Group (BUCG) yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri China ketika itu.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) iaitu syarikat usaha sama dengan BUCG yang dilantik bagi menjalankan projek tersebut.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Guan Eng ketika dalam kereta untuk menghantar pemimpin DAP itu pulang ke destinasinya.

Pada perbicaraan lalu, Zarul Ahmad berkata, beliau telah menerima panggilan telefon sekitar tahun 2011 daripada Guan Eng memaklumkan Perdana Menteri China ketika itu, Wen Jiabao dan Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri majlis menandatangani MoU yang diadakan di Putrajaya pada 28 April 2011, yang turut dihadiri tertuduh.

Pada prosiding hari ini, ahli perniagaan itu turut berkata, beliau memaklumkan butiran terperinci berhubung pemberian wang kepada Guan Eng ketika disoal siasat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes rasuah terowong dasar laut.

Ujarnya, dalam siasatan tersebut, wang itu diserahkan melalui cek kepada Guan Eng.

Mahkamah sedang mendengar prosiding  mencabar kredibiliti Zarul Ahmad yang merupakan saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Kredibiliti saksi utama pendakwaan itu dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 9 dan 10 Oktober ini.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek mega itu yang bernilai berbilion ringgit. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya