PENAMPANG: Perbincangan mengenai agihan kerusi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi pada bulan depan.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kepimpinan parti akan berusaha untuk mengadakan perbincangan lebih awal mengenai agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang permintaan Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mahu perbincangan mengenai agihan kerusi dalam kalangan komponen GRS diadakan lebih awal bagi mengelak pertindihan berlaku.
“Ini kita akan usahakan. Sepatutnya (perbincangan) kita akan lakukan…kita akan mengadakan mesyuarat GRS tidak berapa lama lagi..Insya-Allah bulan depan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, hari ini.
Mengenai kerjasama bersama Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN17, Hajiji berkata, GRS akan terus memperkukuhkan perpaduan parti-parti dalam GRS termasuklah PBS.
“Sekarang kita dalam kerajaan GRS-PH Plus jadi, kerjasama kita cukup mantap dan cukup harmoni antara satu sama lain. Untuk kebaikan Sabah, kita terbuka untuk berbincang dengan rakan-rakan parti lain termasuklah BN,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata, dalam konteks keluarga besar GRS yang terdiri daripada pelbagai parti yang punya perjuangan berbeza, mereka berkongsi objektif yang sama untuk menjadikan Sabah lebih progresif.
Justeru, parti-parti dalam GRS perlu terus memperkukuh kesatuan dalam perjuangan bersama demi kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah.
Mengulas lanjut katanya, persidangan itu menyerlahkan kedudukan PBS sebagai parti komponen GRS yang paling kanan dalam arena politik Sabah. Parti itu telah mengharungi gelombang serta onak dan duri perjuangan untuk bertahan sebagai parti tempatan yang paling lama.
Angka 39 yang tertera pada persidangan ini menunjukkan tahap kedewasaan dan kematangan PBS dalam arena politik tanah air terutama dalam konteks Sabah.
“PBS telah melalui perjalanan yang panjang dalam perjuangan politiknya sehingga berjaya melahirkan beberapa tokoh yang disegani termasuk Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Beliau (Pairin) berjaya mengemudi parti itu secara konsisten selama 31 tahun dan kini masih menaungi PBS sebagai penasihat perdana,” katanya. – UTUSAN