Graduan Unimap 97.7 peratus dapat kerja, nikmati gaji lebih RM4,000 - Utusan Malaysia

Graduan Unimap 97.7 peratus dapat kerja, nikmati gaji lebih RM4,000

ZALIMAN Sauli menyambut ketibaan pelajar baharu di pintu pagar Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) tahun lalu mencecah 97.7 peratus dengan kebanyakkan mereka mendapat pekerjaan di syarikat multinasional dan menikmati gaji premium melebihi RM4,000 sebulan.

Justeru, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, ibu bapa dan waris tidak perlu risau masa hadapan anak-anak mereka berikutan graduan Unimap sentiasa menjadi rebutan pelbagai industri.

Malah katanya, dalam lawatan kerja ke Singapura baru-baru ini, beliau turut berkesempatan berjumpa dengan dua alumni Unimap yang bekerja sebagai jurutera di industri multinasional Micron Semiconductor Singapore dan Primustech Ltd.

Beliau memberitahu, jumlah kemasukan mahasiswa baharu pada kali ini juga melebihi rekod tahun sebelumnya sekali gus membuktikan bahawa Unimap semakin mendapat tempat di mata anak-anak muda selepas berjaya menghasilkan graduan cemerlang dalam industri.

“Unimap menawarkan pelbagai program akademik berkualiti tinggi, disokong oleh tenaga pengajar yang berdedikasi dan berpengalaman. Kami juga menyediakan kemudahan yang lengkap dan moden untuk menyokong proses pembelajaran dan pengajaran seiring dengan perkembangan pesat teknologi Kecerdasan Buatan (AI),” katanya sewaktu Majlis Taklimat Kepada Waris sempena Minggu Suai Kenal (MSK) Sarjana Muda Sidang Akademik 2024/2025 di sini hari ini.

Pada sesi ini, Unimap menerima kemasukan 2,059 mahasiswa baharu yang akan mengikuti program pengajian di enam fakulti bagi ambilan Sarjana Muda sidang akademik 2024/2025

Sementara itu, Zaliman berkata, Unimap juga memberi penekanan terhadap aktiviti kokurikulum dan pembangunan sahsiah bagi membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, emosi, dan sosial.

Kata beliau, pihaknya turut memohon pelajar yang mempunyai masalah kewangan agar dapat segera berjumpa dengan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bagi mendapat panduan dan nasihat.

“Unimap akan mengambil langkah awal melalui pengurusan bantuan awal pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar tidak berkemampuan, selain turut menyantuni beberapa bakal pelajar menerusi program Ziarah Kasih Unimap.

“Antara bantuan yang diberikan ialah seperti Bantuan Awal Pendidikan EKUINAS Yayasan Pelajaran Mara, Bantuan CARE4U, Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG), bantuan Tabung Amanah Unimap serta pelbagai lagi,” katanya.

Tambahnya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu juga menawarkan penginapan 100 peratus di dalam kampus sepanjang pengajian mahasiswa dengan kemudahan enam kolej kediaman disediakan.

“Penginapan dan keselamatan mahasiswa sentiasa dipantau oleh pengetua dan penolong pengetua kolej kediaman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya