SHAH ALAM: Tiga pengikut gerakan syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) termasuk pasangan suami isteri dan seorang peguam pemerhati yang masing-masing direman selama 18 dan tujuh hari sebelum ini dibebaskan hari ini.
Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Majistret selepas mendapati tiada keperluan untuk meneruskan penahanan terhadap ketiga-tiga individu tersebut termasuk pasangan suami isteri yang menanggung seorang bayi berusia tujuh bulan.
Bagaimanapun, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali membenarkan lanjutan reman selama satu dan dua hari terhadap seorang wanita berusia serta dua lelaki termasuk pegawai kewangan GISBH berusia 40-an dan 50-an.
Lanjutan reman tersebut dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Salah seorang peguam dalam barisan pembelaan, Rosli Kamarudin berkata, terdapat dua kumpula iaitu melibatkan Pengerusi GISBH dan empat isteri ahli lembaga pengarah dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur bagi permohonan lanjutan reman.
“Pada hari ini, kumpulan sembilan orang termasuk empat isteri ahli yang salah seorangnya warga Australia di bawa ke Mahkamah Kuala Lumpur. Kita tunggu jawapan dari Kuala Lumpur sama ada dapat reman ataupun tidak.
“Kita akan ada lagi prosiding esok dan lusa di Mahkamah Kuala Lumpur pula. Itu bagi kumpulan pertama yang melibatkan Pengerusi GISBH dan lembaga pengarah. Itu termasuk dalam 24 orang,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Pada prosiding kali terakhir Jumaat lalu, mahkamah membenarkan permohonan lanjutan reman selama satu dan dua hari terhadap sembilan orang yang terdiri daripada tujuh wanita dan dua lelaki.
Secara keseluruhan kesemua yang ditahan termasuk Pengerusi GISBH direman selama 18 hari sejak hari pertama ditahan di seluruh negara termasuk Selangor dan Kedah bagi membantu siasatan di Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Sementara peguam yang dibebaskan hari ini, direman selama tujuh hari sejak ditahan di Changlun, Kedah, pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Rosli yang mengetuai pasukan pembelaan terdiri daripada Boestamam Ahmad, Najib Zakaria dan Dorina Abdullah, menegaskan, sehingga kini tiada pertuduhan dibuat terhadap kesemua anak guamnya.
Malah, beliau percaya terdapat dakwaan mengatakan anak guam yang dibebaskan akan ditahan semula.
“Pertuduhan belum dibuat lagi, tetapi kami difahamkan terdapat spekulasi ada antara mereka akan ditangkap semula. Kalau ditangkap semula, usaha peguam yang dilantik jadi sia-sia. Lagipun, siasatan (orang kena reman) tak lari mana. Imigresen boleh sekat mereka daripada pergi ke luar negara.
“Jangan tangkap semula. Suspek-suspek akan beri kerjasama, para peguam pun akan beri kerjasama. Kita tidak akan melakukan tindakan yang melawan pihak berkuasa, tiada keperluan untuk kita menahan terus-menerus semua suspek.
“Kita tak mahu itu berlaku. Kita mahu kes diselesaikan dengan baik, kalau ada kesalahan jenayah, go for it, tuduh. Jadi kita tak mahu ditahan berterusan tanpa penghabisan,” jelasnya. – UTUSAN