KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan memaksa dan mengungut pasangan suami isteri untuk menandatangani dokumen kosong bagi mendapatkan anaknya kembali selepas didakwa menjadi mangsa keadaan ketika Ops Global membabitkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, dakwaan pasangan tersebut diugut untuk menandatangani dokumen berkenaan untuk mendapatkan anaknya kembali adalah tidak tepat.
Menurut beliau, pasangan tersebut keliru dengan apa disampaikan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mengendalikan kes tersebut.
Jelasnya, dokumen yang menjadi persoalan itu merupakan pemakluman mengenai kanak-kanak yang diselamatkan, selaras Peraturan 18 dengan prosedur pemakluman atau pemberitahuan selari Seksyen 18(2) Akta Kanak-Kanak.
“Menerusi Peraturan 18, memang pegawai (JKM) perlu memaklumkan kami membawa anak mereka (ke tempat selamat) dan ia tidak diperlukan dalam (bertulis), hanya dimaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.
“Sebenarnya dalam kes ini, pegawai JKM terbabit menyerahkan dokumen untuk memaklumkan pemberitahuan berkenaan. Dokumen itu adalah prosedur pentadbiran. Tak perlu ada dokumen pun tak mengapa.
“Tandatangan yang diminta bukanlah bagi pengakuan individu terbabit melakukan sebarang kesalahan untuk dihadapkan ke mahkamah, sebaliknya akuan penerimaan pemakluman atau pemberitahuan berhubung keadaan anaknya dalam keadaan selamat di bawah perlindungan JKM ketika itu,” katanya semasa menggulung perbahasan Penerangan Menteri berkenaan Isu Kebajikan Kanak-Kanak yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISBH di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, pasangan itu mendakwa pegawai JKM memberi borang kosong dan mengugut beliau menandatangani, kemudian menjadikannya sebagai pengakuan melakukan kesalahan dan dibawa ke mahkamah untuk dijadikan alasan atau sebab untuk JKM mengambil anaknya.
Sementara itu, Nancy berkata, ibu bapa yang ingin mengetahui dan mengesahkan keberadaan anak mereka di bawah perlindungan JKM boleh menghubungi bilik gerakan JKM di talian 0383232190/2191.
“Keperluan mendapatkan butiran daripada mereka yang mengaku sebagai ibu bapa ini perlu kerana ada dalam kalangan kanak-kanak terbabit tidak mengenali ibu bapa mereka.
“Mungkin juga ibu bapa ini dapat mengenal pasti anak mereka dan kita akan cuba untuk menghubungkan ibu bapa berkenaan dengan anak mereka,” katanya.
Bagaimanapun katanya, ibu bapa tersebut tidak semestinya layak secara automatik untuk mendapatkan hak jagaan ke atas kanak-kanak yang diselamatkan itu.
“Jika mahkamah selepas mempertimbangkan laporan dan fakta lain yang berkaitan, serta berpuas hati dan yakin kanak-kanak itu tidak lagi memerlukan perlindungan JKM dan boleh diserahkan semula kepada ibu bapa mereka, mereka akan disatukan semula dengan ahli keluarganya.
“Namun, perlu diberi perhatian, fakta individu itu adalah ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit tidak semestinya diterjemahkan yang mereka layak secara automatik untuk mendapatkan hak jagaan kanak-kanak terbabit,” jelasnya.
Tambahnya, sekiranya mahkamah berpandangan ibu bapa terbabit tidak sesuai atau tidak layak untuk menjaga kanak-kanak maka perintah jagaan sementara kepada pihak lain termasuk Orang Yang Layak dan Sesuai. – UTUSAN