Kahwin celaru, JAIS kesan salasilah 435 kanak-kanak GISBH

Kahwin celaru, JAIS kesan salasilah 435 kanak-kanak GISBH

Kanak-kanak GISBH
Pihak berkuasa menyita kawasan pusat perniagaan milik rangkaian GISBH di Bandar Country Homes, Rawang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 435 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan daripada sekolah agama dan rumah amal di bawah syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sedang dikenal pasti salasilah keluarga mereka.

Usaha tersebut perlu dilakukan selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenalpasti kecelaruan perkahwinan dalam kalangan pengikut gerakan itu yang didakwa diatur oleh pemimpin serta tidak berdaftar dengan Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kecelaruan tersebut berlaku sehingga menyebabkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan apabila tiada dokumen yang sah serta pernikahan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran selain poligami dibuat tanpa melalui Mahkamah Syariah.

“Situasi dan keadaan itu menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).

“Perkara itu dijangka memberi kesan terhadap mereka apabila menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak. Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Kerajaan Selangor akan menyembah maklum keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengenai GISBH kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, keputusan itu telah dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Sementara di Johor pula, seramai 30 kanak-kanak dan remaja dalam serbuan ke atas lapan premis miliki GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), di negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini memaklumkan, serbuan itu dijalankan di lima daerah, iaitu Johor Bahru, Kluang, Segamat, Kota Tinggi dan Mersing pada minggu lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan memberitahu JAIS menangkap seramai 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISBH dalam pelbagai kesalahan berkaitan dengan jenayah syariah meliputi perkara berkaitan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Jelasnya, siri tangkapan itu dijangka akan berterusan melibatkan suspek-suspek yang disyaki dan telah dikenalpasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh JAIS.

“Sehingga kini, hasil siasatan JAIS mendapati, wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan, termasuklah amalan mempercayai pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.

“Mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN