PUTRAJAYA: “Tolonglah bebaskan anak-anak saya segera kerana mereka tiada kaitan pun dengan GISBH (Global Ikhwan Service and Business Holdings),” luah Mashita Isa.
Malah wanita berusia 30 tahun itu tidak dapat menahan sebak ketika bercerita mengenai empat anaknya ditahan pihak polis pada 11 September lalu.
Dia yang menetap di Sepang, Selangor antara lebih 20 individu tampil pada sidang akhbar Gerakan Pulangkan Anak-anak Kami yang dibentuk Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di sini.
Kumpulan berkenaan merupakan sebahagian daripada 96 orang ibu bapa melibatkan 174 orang kanak-kanak yang dikenal pasti ditahan polis menerusi Op Global pada bulan lepas.
Menjelaskan lanjut, suri rumah tersebut turut kecewa kerana dia dan suami juga terpaksa bermalam enam hari di lokap hanya kerana dituduh tanpa bukti sebagai anggota GISBH.
“Kami tiada kena-mengena dengan organisasi itu dan kesemua ibu bapa di sini bernikah secara sah malahan anak kami pun ada sijil kelahiran sebagai warganegara,” katanya hiba.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, gerakan itu mendesak kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyelidik balik Op Global yang ternyata bercelaru dan melanggar peraturan.
Selain itu, beliau menuntut JKM supaya segera membebaskan kanak-kanak yang ditahan sehingga mengakibatkan mereka mengalami trauma dan kemurungan. – UTUSAN