GISBH: 68 kanak-kanak dalam proses dapatkan perintah mahkamah untuk diserah - Utusan Malaysia

GISBH: 68 kanak-kanak dalam proses dapatkan perintah mahkamah untuk diserah

NANCY Shukri (sembilan dari kanan) bergambar bersama selepas menyempurnakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perlis 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 68 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) sedang dalam proses mendapatkan perintah mahkamah untuk diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pada peringkat awal, seramai 560 kanak-kanak telah diselamatkan dan setakat ini, 54 daripadanya telah diserahkan kepada ahli keluarga mengikut perintah dikeluarkan mahkamah.

Katanya, prosedur itu perlu dilalui memandangkan pihaknya perlu mengenalpasti ibu bapa sebenar kanak-kanak terbabit terlebih dahulu sebelum membuat permohonan perintah mahkamah.

“Sewaktu kita menyelamatkan kanak-kanak ini, kita perlu mohon kepada mahkamah dan apabila ingin menyerahkan kembali keluarga juga kita kena buat permohonan.

“Kita pun tak mahu jaga anak orang sebab kita tahu itu adalah hak mereka bersama keluarganya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak Peringkat Negeri Perlis 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, di sini, hari ini.

Menerusi sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat pada 15 Oktober lalu, seramai 560 kanak-kanak melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, beliau sememangnya mengharapkan agar masyarakat memahami prosedur undang-undang yang dilakukan kerajaan dalam kes itu.

“Tugas kami adalah perlu memastikan pihak yang menuntut itu adalah ibu bapa sebenar dengan menjalankan tugas secara terprinci mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM komited dalam usaha menangani isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Katanya, berdasarkan statistik JKM, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan meningkat secara drastik pada tahun lalu melibatkan 8,041 orang berbanding 6,770 orang pada tahun 2022 dan 6,144 pada 2021.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya