Gerakan hormati permohonan maaf Najib, jadikan pengajaran - Utusan Malaysia

Gerakan hormati permohonan maaf Najib, jadikan pengajaran

DOMINIC Lau berucap pada perasmian Persidangan Perwakilan Parti Gerakan negeri Perak di Wisma Gerakan, Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menghormati hak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, sebagai sebuah negara demokrasi sesiapa sahaja boleh berbuat demikian dan partinya tidak boleh menghalang.

Beliau mengalu-alukan tindakan permohonan maaf tersebut dengan melihat ia sebagai satu pengajaran agar tidak berulang lagi pada masa akan datang.

“Negara kita adalah negara demokrasi, sesiapa hendak keluarkan kenyataan, siapa hendak memohon maaf itu terpulang kepada diri sendiri. Sesiapa sahaja ada hak untuk berbuat demikian,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan negeri Perak di sini hari ini.

Pada Khamis lalu, Najib menerusi kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar, beliau menyatakan rasa terluka kerana penyelewengan itu berlaku ketika dirinya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, bekas Presiden UMNO itu masih mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah sebaliknya turut ditipu oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama penuhnya, Low Taek Jho.

Gerakan merupakan komponen Barisan Nasional (BN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun meninggalkan gabungan tersebut apabila tumbang dalam PRU-14 dan hilang kuasa sebagai kerajaan pusat buat pertama kali dalam sejarah.

“Sebagai seorang manusia, kita bukan sempurna. Setiap manusia pernah membuat kesalahan dan ada kelemahan. Yang penting jika sesuatu kesalahan atau kelemahan itu diakui dan tidak akan berlaku lagi, memang kita mengalu-alukan,” kata Dominic yang menjadi Presiden Gerakan sejak November 2018.

Dalam perkara lain, Dominic berkata Gerakan sedang mengukuhkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), termasuk memperbaiki kerjasama di dalam Perikatan Nasional (PN) setelah melalui beberapa pilihan raya.

Beliau juga berkata, Gerakan giat untuk terus menambah keahlian parti itu terutama dalam kalangan orang muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya