Gerakan GISBH menyimpang dari akidah

Gerakan GISBH menyimpang dari akidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pegangan dalam gerakan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) disahkan haram jika ajarannya masih sama dengan Al-ArqaM dan mengamalkan Aurad Muhammadiah seperti ditetapkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak Februari 1993.

Perkara itu dinyatakan dalam khutbah Jumaat dekat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menggariskan empat penyimpangan yang berlaku terhadap gerakan GISBH seperti pemujaan, ketaksuban dan pemujaan, berunsur khurafat dan syirik serta amalan poligami tidak menepati syarak.

Menurutnya, wujud pemujaan berlebihan terhadap pemimpin iaitu Ashaari Muhammad yang dikenali pengikutnya sebagai ‘Abuya’ walaupun beliau sudah pun meninggal dunia pada 2010 dan percaya kebangkitan Imam Mahdi dikaitkan dengan Al-Arqam.

“Ketaksuban dan pemujaan kepada Kepimpinan Abuya memiliki kuasa kerohanian yang luar biasa, dan ada pula dakwaan bahawa mereka percaya Sheikh Muhammad al-Suhaimi akan kembali sebagai Imam Mahdi.

“Wujud unsur-unsur khurafat dan syirik dari ajaran asal Al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan, Allah akan beritahu kepada Abuya tentang sesuatu penyakit di kalangan pengikutnya serta dipercayai memiliki ramalan tentang masa depan. Dalam Islam, syirik dan khurafat adalah dosa besar yang paling besar.

“Kepercayaan dan amalan poligami yang tidak mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa. Mereka mengadakan seminar dan kempen untuk memperluaskan amalan poligami dalam kalangan ahli-ahli mereka,” demikian khutbah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dibacakan oleh Khatib, Mohd. Luqman Hakkim Rizuan.

Khutbah sama turut dibacakan di lebih 500 masjid dan surau di seluruh negeri ini yang menganjurkan solat Jumaat.

Malah, khutbah itu turut mengimbau sejarah penubuhan Al-Arqam pada 1964 sebelum pengharamannya pada 1994 sehingga menyebabkan beberapa ahli bekas kumpulan tersebut menubuhkan syarikat Rufaqa’ Co. sebelum tertubuhnya GISBH.

“Mereka mengendalikan pelbagai jenis perniagaan, termasuk restoran, penginapan, perniagaan peruncitan, dan khidmat sosial di bawah jenama ini. Pengaruh Ashaari masih kuat dalam kumpulan ini walaupun selepas pengharamannya.

“Ashaari yang meninggal dunia pada tahun 2010 terus dihormati oleh pengikutnya dan pengaruhnya jelas dalam struktur perniagaan dan sosial Global Ikhwan. Kes Global Ikhwan mencerminkan bagaimana sebuah organisasi yang pernah diharamkan kerana ajaran sesat boleh meneruskan pengaruhnya dalam masyarakat melalui perniagaan dan aktiviti sosial.

“Walaupun ia tidak lagi secara terang-terangan menyebarkan ajaran yang sama, pengaruh dan nilai-nilai yang diasaskan oleh Al-Arqam masih dilihat dalam operasi dan struktur organisasi ini,” jelasnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disembah maklum keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan bertitah bertitah, amalan, pegangan dan fahaman GISBH sebagai sesat.

Baginda dalam satu kenyataan dilapor bertitah, pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang dibawa oleh kumpulan Al-Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam.

Dalam pada itu, khutbah sama dalam pesanan terakhirnya menasihatkan umat Islam di seluruh negeri ini mengambil pengajaran daripada pembongkaran isu GISBH dan menjadikannya sempadan supaya tidak tersasar daripada akidah Islam.

“Umat Islam hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Benar-benar mengenali Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak keliru terhadap golongan-golongan yang mengaku mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun hakikatnya mereka adalah golongan yang terpesong.

“Umat Islam hendaklah lebih berhati-hati dengan bersikap tabayyun dan menyelidik sebelum mengikut membuta tuli di sebalik perkataan agama dan amal atau seumpamanya dengan merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri,” ujarnya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menunaikan Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya