Geng Casa samun bersenjata tumpas

Geng Casa samun bersenjata tumpas

Geng Casa
HUSSIEN Omar Khan menunjukkan barangan samun yang dirampas daripada Geng Casa di IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kumpulan jenayah terancang, Geng Casa yang aktif menyamun dan pecah rumah sejak setahun lalu tumpas selepas ketua dan sembilan ahlinya diberkas polis di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Kesemua suspek tempatan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 46 tahun itu diberkas bermula 3 Oktober hingga hari ini.

Siasatan mendapati dalang kumpulan jenayah bertopeng dan bersenjatakan parang berusia 30-an itu turut memiliki tiga rekod lampau berkaitan kes bunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu dilakukan susulan kes terbaharu melibatkan seorang ahli perniagaan yang kerugian RM600,000 selepas banglo di Pandamaran, Klang dipecah masuk suspek, minggu lalu.

Menurutnya, siasatan menyeluruh pihaknya membawa kepada empat serbuan yang berjaya menahan 10 suspek di Mantin, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

“Polis turut merampas sebilah parang panjang, topeng dan sarung tangan yang digunakan suspek selain beberapa hasil samun.

“Kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini..

Jelasnya, kumpulan itu dianggap berbahaya kerana bukan saja menyamun malah turut mengikat dan mencederakan mangsa jika terancam.

“Geng itu dipercayai aktif pada awal pagi sejak 2023 dengan menyasarkan kediaman mangsa termasuk yang berpenghuni.

“Semakan mendapati mereka yang turut mempunyai ‘jaga air’ untuk memantau sasaran samun itu terlibat dalam 13 kes di Klang Selatan dan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Tambah Hussein, pihaknya sedang mengesan saki baki kumpulan itu yang masih bebas terdiri daripada dua hingga empat individu bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan sebuah keluarga menempuh detik menakutkan apabila banglo mereka di Pandamaran dimasuki sekumpulan penjenayah berparang yang melarikan wang dan barangan bernilai RM600,000.

Kejadian kira-kira pukul 5 pagi, 3 Oktober itu itu turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera akibat ditetak pada bahunya oleh suspek.

Terdahulu, tular dua video memaparkan sekumpulan penjenayah memanjat tembok dan memecah masuk rumah itu sebelum menggeledah serta mengikat beberapa mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya