TERKEMUKA di mata dunia, industri hiburan Korea Selatan nampaknya berjaya menjadi sama hebat dengan industri hiburan di Barat baik daripada aspek muzik, barisan selebriti dan artis, karya drama termasuklah dunia perfileman mereka yang masing-masing mempunyai mutu tersendiri.
Bagaimanapun, kalau menyentuh mengenai dunia Kpop mereka, Korea Selatan juga antara yang maju dan laju melahirkan generasi penyanyi dan pemuzik mereka hingga dikenali sehingga luar negara.
Kalau dilihat, Kpop yang telah memasuki era generasi kelima turut melahirkan pelbagai trend menarik yang kemudiannya diikuti atau dievolusi daripada satu era ke satu era sehingga kini.
Namun, tahukah anda, segala trend terkini sebenarnya bermula daripada generasi kedua idol Kpop yang banyak menyumbang kepada trend bahan kandungan dan kegiatan promosi idol-idol mereka sehingga waktu ini?
Berikut adalah lima elemen yang dirangkumkan khusus buat pembaca dan peminat Kpop.
Video tarian
Kalau hendak tahu, tren video latihan menari yang kini menjadi alat bantu promosi jenama sesebuah kumpulan atau idol di Korea Selatan sebenarnya bermula daripada inisiatif kumpulan SHINee.
Kumpulan itu mula berbuat demikian ketika muncul dengan single berjudul Replay pada 2009.
Idol atau kumpulan Kpop lain kemudiannya mula meniru cara yang sama selepas SHINee muncul dengan video latihan untuk lagu berjudul Lucifer yang menjadi tular pada 2010.
Lightstick
Jika anda peminat dunia Kpop, anda pasti tahu bahawa setiap idol atau artis berkumpulan di Korea Selatan mempunyai tanda mata atau cenderamata mereka tersendiri.
Antara yang paling utama disifatkan ‘perlu’ ada adalah lightstick atau lampu khusus yang biasanya dijual di konsert-konsert artis. Dalam budaya K-pop, light stick ini memainkan peranan penting bagi peminat dan ia adalah simbol perpaduan dan kekuatan peminat.
Tahukah anda, lightstick pertama diciptakan oleh G-Dragon BIGBANG? Dia telah mencipta sendiri dengan hasrat mahu kumpulan peminatnya kelihatan menonjol di tengah kerumunan peminat artis berkumpulan lain.
Kad foto
Selain cenderamata berbentuk light stick, peminat dunia hiburan Kpop juga gemar mengumpul foto-foto artis kesayangan mereka.
Mengumpul gambar-gambar artis juga merupakan hobi buat peminat dunia Kpop meskipun ada yang beranggapan ia merupakan satu pembaziran dalam kata satu ‘pelaburan’.
Pencetus idea menghasilkan kad foto datangnya daripada kumpulan SNSD. Mereka adalah artis berkumpulan pertama yang melancarkan idea ini di Korea menerusi album Oh! pada 2010. Kini,kad foto menjadi antara item paling disukai peminat dalam setiap album yang dilancarkan.
Isyarat mini ‘love’
Isyarat hati mini atau disebut sebagai jari hati sebenarnya merupakan trend yang dipopularkan oleh artis di Korea Selatan yang mana jari telunjuk dan ibu jari disatukan seperti sentakan untuk menggambarkan hati yang kecil.
Isyarat ini telah menjadi popular di seluruh Asia kerana populariti K-pop dan drama Korea yang semakin ‘menggila’ yang kemudiannya mencetuskan gelombang fanatik dunia hiburan Korea.
Namun, tahukah anda bahawa isyarat itu asalnya dipopularkan oleh Woohyun daripada kumpulan Infinite sekitar 2011 atau 2012?
Meskipun tidak pernah mengakui bahawa dia merupakan pencetus trend tersebut, bagaimanapun ramai kalangan selebriti Korea meniru dan mempopularkan isyarat itu kepada khalayak antarabangsa.
Konsep Girl Crush
Setiap grup yang berada dalam industri muzik KPop pasti memiliki gaya dan juga konsep masing-masing. Memiliki gaya yang eksentrik dan bold, ia membuatkan grup dengan konsep Girl Crush mudah diterima oleh masyarakat antarabangsa.
Difahamkan, kebanyakan masyarakat di Korea Selatan biasanya lebih menyukai konsep yang fresh dan juga kelihatan comel sekali gus menyaksikan perbezaan dengan peminat antarabangsa.
Bagaimanapun, tidak banyak artis berkumpulan K-Pop yang memiliki konsep seperti itu. Bahkan, ada yang mencuba tetapi kelihatan canggung atau tidak kena dengan karakter mereka.
Kalau hendak tahu, konsep girl crush ini mula dipopularkan oleh kumpulan 2NE1 ketika mereka tampil debut pada 2009 menerusi lagu Fire dan I Am The Best pada 2011. Sehingga kini, konsep ini banyak diminati oleh kalangan selebriti termasuk peminat industri muzik Kpop.