Generasi kami mahu lihat industri bersatu - Hun Haqeem - Utusan Malaysia

Generasi kami mahu lihat industri bersatu – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelakon, Hun Haqeem, menyifatkan kemenangan pelakon generasi baharu dalam beberapa kategori Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) sebagai petanda baik untuk perkembangan industri seni.

Jelas Hun atau Haqeem Hermy, 26, kemenangan mereka adalah bersandarkan kepada minat dan harapan besar untuk menyatukan semua penggiat seni di Malaysia.

“Alhamdulillah saya sangat gembira melihat mereka memenangi anugerah. Ini yang kami mahukan, iaitu generasi baru yang penuh dengan semangat, bersatu dan saling membantu antara satu sama lain.

“Saya juga percaya mereka juga gembira untuk kemenangan saya,” katanya.

Hun mengulas mengenai kemenangan wajah baru yang berjaya menggenggam trofi pada malam kemuncak ABP36 seperti Aedy Ashraf untuk Aktor Filem Popular, Anna Jobling untuk Aktres TV Popular, Erysha Emyra dan Shah Radhy untuk Artis Baharu Popular.

Malah, Hun turut merasakan pengorbanan dilakukan sehingga terpaksa menjalani pembedahan Ligamen Krusiat Anterior (ACL) akibat cedera semasa penggambaran berbaloi selepas dianugerahkan trofi Aktor TV Popular.

“Dalam tempoh setahun ini, saya buat banyak perubahan tubuh untuk sesuaikan dengan karakter. Kaki pun sudah pernah kena ACL.

“Saya sebenarnya sangat sayangkan industri seni Malaysia terutama dan selalu berharap akan ada peluang untuk saya terus berkarya selama yang boleh. Apa sahaja untuk industri seni Malaysia saya akan berikan semua,” katanya.

Hun ditemui Utusan Malaysia di sesi sidang media malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-36, di Dewan MBSA, baru-baru ini.

Ditanya apakah yang bakal ditawarkan kepada industri selepas kemenangan ini, pelakon Kampung People itu berhasrat untuk menjayakan lebih banyak adegan aksi.

“Saya nak ambil cabaran buat lebih banyak aksi dan membawakan karakter penjahat,” jelasnya.

Terdahulu, Hun Haqeem berjaya merampas trofi Aktor TV Popular yang sebelum ini dimenangi Meerqeen.

Hun turut mengenepikan calon lain dalam kategori yang sama iaitu Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Meerqeen dan Redza Rosli. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya