SHAH ALAM: Tenaga pakar tempatan yang berada di universiti atau industri sama ada di dalam atau luar negara perlu digembleng untuk menggarap Pelan Pendidikan Tinggi Negara bagi tempoh 10 tahun akan datang berbanding menggunakan khidmat konsultan luar.
Ini kerana, kepakaran tempatan lebih memahami keperluan terhadap model pembangunan pendidikan tinggi yang diperlukan negara mengikut kepakaran-kepakaran dimiliki oleh pensyarah dan profesor di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, negara ini mempunyai kemampuan sendiri termasuklah rakyat Malaysia berkhidmat di agensi-agensi luar negara yang wajar dipanggil bagi membantu merangka Pelan Pendidikan Tinggi Negara.
“Kita memikirkan bahawa, yang dari luar, sarjana-sarjana dari luar, konsultan-konsultan. Tetapi, sebenarnya saya sebutkan yang mempunyai kepakaran itu adalah di sini. Saya selalu sebutkan tentang peri penting kita mempunyai nilai diri, harga diri, keyakinan kepada sistem pendidikan kita.
“Keyakinan perlu kita bina dengan sebaik-baiknya, termasuklah hari ini kita sedang merangka pelan perancangan pendidikan (tinggi) untuk masa hadapan, 10 tahun akan datang,” katanya pada Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 dan Sambutan Hari Akademia Peringkat Kebangsaan, hari ini.
Jelasnya, kemampuan kepakaran tempatan terbukti menerusi pemerkasaan pendidikan tinggi negara yang kini berada di peringkat antarabangsa sehingga mampu menggamit mahasiswa ratusan ribu mahasiswa dari luar negara untuk belajar di IPT tempatan.
Dalam pada itu, Zambry turut mengingatkan keperluan para pensyarah untuk bersikap adative terhadap perkembangan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) termasuk menghadapi cabarannya dalam akademik.
“Mungkin kita dapat mengarahkan mahasiswa untuk menjawab soalan agar tidak melihat Chat GPT, ChatBox dan pelbagai sistem yang ada. Tetapi, sejauh mana kemampuan kita untuk memastikan mereka tidak melihat segala jawapan melalui Chat GPT, itu tidak mungkin untuk memeriksa setiap masa, dari 100 hingga 1,000 mahasiswa. Itu sangat menantang.
“Jadi, soalnya bagaimana dengan adanya realiti di hadapan kita, tetapi dalam masa yang sama proses pengajaran itu dapat disampaikan, matlamat pendidikan itu dapat disampaikan, sistem nilai yang nak kita terapkan di dalam diri pelajar-pelajar kita itu dapat disampaikan. Itulah cabaran pendidikan pada hari ini, agak kompleks,” jelasnya.
Katanya lagi, cabaran termasuk juga teknologi, dan pengaplikasiannya yang merangkumi kaedah pengajaran yang lebih tersesuai dan mempersona memerlukan satu inovasi kreativiti dalam pembelajaran.
“Kaedah pengajaran yang bukan lagi berteraskan kepada kampus, tetapi juga di berada di luar sana di peringkat industri-industri,” ujarnya. – UTUSAN